Tiada hasrat tubuh kerajaan didominasi Melayu, Islam

Asyraf Wajdi menyampaikan ucapan dasar di hadapan perwakilan pada Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO di PWTC pagi tadi. - Foto ZAHID IZZANI
Asyraf Wajdi menyampaikan ucapan dasar di hadapan perwakilan pada Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO di PWTC pagi tadi. - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO dan Pas tidak pernah bercita-cita mendirikan kerajaan yang hanya didominasi dan dimonopoli orang Melayu dan Islam.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebaliknya Muafakat Nasional yang dipersetujui kedua-dua parti itu sebelum ini tidak mengetepikan kaum-kaum lain.

Menurutnya, muafakat berkenaan bukanlah satu pakatan rapuh sebagaimana Pakatan Harapan (PH) yang diibaratkan tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

“Yang penting, Muafakat Nasional mestilah melangkaui soal percaturan kuasa dan pengagihan kerusi semata-mata,” katanya pada Ucapan Dasar Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata, Muafakat Nasional juga harus menyediakan tawaran buat rakyat terutamanya menyentuh soal perut dan untung nasib rakyat untuk terus hidup aman, stabil dan harmoni.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mengingatkan pimpinan parti agar 'jangan sesekali buat onar setelah berpakat'.

“Jangan sesekali mempersiakan harapan umat, jangan perjudikan nasib rakyat. Muafakat Nasional ini bukan milik eksklusif mana-mana pemimpin atau parti. Ia adalah manifestasi suara akar umbi yang mahu umat berpadu. Ia adalah cerminan denyut nadi rakyat yang mahu Islam meneraju.

“Ia juga adalah isyarat rakyat mahukan Malaysia dengan rakyat pelbagai agama dan bangsa untuk bersatu,” katanya yang turut menggesa kepimpinan tertinggi parti segera menginstitusikan Muafakat Nasional.

Artikel Berkaitan:

Sejarah tercipta pada 14 September lalu selepas dua parti Melayu tertua dan terbesar di Malaysia memeterai perjanjian yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional.

Dalam piagam tersebut, kedua-dua parti bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.