X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar yakin PKR akan bertambah mantap

Anwar ketika wawancara eksklusif dengan Sinar Harian di Bangunan Parlimen di sini semalam. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin parti tunjang Pakatan Harapan itu akan bertambah mantap pada Kongres Nasional PKR yang akan berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 5 hingga 8 Disember ini.

Anwar berkata, di sebalik pelbagai masalah dalaman dan andaian politik, beliau yakin kebanyakan kepimpinan parti termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan hadir dan sama-sama berganding bahu bagi mengukuhkan parti itu.

Menurutnya, faktor keterbukaan PKR telah mengundang pelbagai telahan, tafsiran dan persepsi negatif rakyat namun ia tidak menjejaskan keutu-han PKR.

“(Cuma) saya fikir ada ketelanjuran. Ada perkataan yang terlanjur disebut kepada media padahal ruang dalam parti ada. Mereka boleh suarakan dalam mesyuarat sekiranya ada (perbezaan pendapat). Itu yang menimbulkan pelbagai persepsi rakyat terhadap PKR.

“Saya yakin kebanyakan pemimpin akan hadir pada kongres itu. Presidennya, Timbalan Presidennya (Azmin), Setiausaha Agungnya (Datuk Seri Saifuddin Nasution) akan bersama-sama ke arah memantapkan lagi kekuatan parti. Ini keyakinan saya dan insya-ALLAH akan terbukti benar,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Sinar Harian di Bangunan Parlimen di sini semalam.

Wawancara eksklusif itu turut dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian ketika ditanya apakah kemelut yang melanda parti itu akan berjaya diselesaikan pada Kongres Nasional PKR 2019 nanti.

Krisis kepimpinan PKR dikatakan semakin meruncing apabila kumpulan yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin kononnya merancang mengadakan satu himpunan berasingan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan

ARTIKEL BERKAITAN: Hubungan Anwar-Azmin semakin pulih?

Ahad ini, iaitu tarikh sama Kongres Nasional PKR di Melaka.Ia susulan perpecahan dalam kalangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), apabila kumpulan yang diketuai Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham mahu Mohamed Azmin merasmikan sayap itu pada kongres terbabit seperti mana tradisi parti.

Satu lagi kumpulan diketuai Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula bertegas bahawa perasminya ialah Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala Mohamed Azmin merasmikan kongres Wanita PKR.

Anwar berkata, lebih 85 peratus perwakilan menyatakan persetujuan untuk hadir membuktikan parti itu masih utuh dan tiada perpecahan dalaman seperti yang diperkatakan.

“Saya pergi hampir kesemua negeri melainkan Selangor kerana Menteri Besar, Amirudin Saari mohon agar konvensyen (di Selangor) dianjak kepada pertengahan Januari. Saya kata boleh tetapi persepsi di luar seolah-olah dia membantah. Itu berbeza daripada apa yang saya peroleh.

“Kita lihat sekarang senarai perwakilan lebih 85 peratus yang sudah daftar. Kalau ada 10 peratus tidak setuju umpamanya, apakah itu bermakna perpecahan? Bukan mudah untuk dapatkan kehadiran 100 peratus. Tak ada di dunia ini yang boleh dapat 100 peratus.

“Bukan soal Anwar, Azmin, Saifuddin tetapi soal parti sendiri, soal akar umbi. Ternyata mereka mahu supaya parti yang bersatu, mereka beri mandat kepada pimpinan dan mereka beri dokongan kepada semua acara-acara penting parti,” katanya.

Anwar berkata, tidak adil sekiranya Azmin didakwa menjadi punca masalah dalam PKR.

“Tidak adil untuk tuding sedemikian kerana ia bukan masalah seorang. Kita peringatkan ini kepada saya, rakan-rakan, semua pimpinan bahawa percaturan politik dan landskap politik itu harus berubah.

“Walaupun ada sedikit sebanyak gembar-gembur di media, saya yakin kerana pemimpin ini matang dan berpengalaman. Akhirnya mereka tahu parti ini ditubuh sejak 1999 untuk memperkukuh agenda reformasi di negara kita,” katanya.