Sila log masuk terlebih dahulu.

UMNO sedia jadi pelopor gerakan tumbangkan PH

Mohamad berucap pada majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC hari ini. - Foto: Zahid Izzani
Mohamad berucap pada majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC hari ini. - Foto: Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO melaungkan kesediaan untuk menjadi pelopor gerakan rakyat untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat yang rasa ditipu parti itu wajar bangkit menentang dan menggulingkan kerajaan hari ini.

Menurutnya, selepas 18 bulan menjadi kerajaan PH dilihat telah menggagalkan negara ini dan rakyatnya secara sistematik.

"Mereka telah gagal dalam janji mereka. Gagal mengurus negara ini. Gagal melaksanakan pembaharuan yang mereka janjikan.

"Mereka adalah Pakatan yang gagal. PH yang bukan sahaja menjadikan negara ini negara rapuh, malah PH yang telah melemahkan kedudukan, pengaruh dan kekuasaan bangsa Melayu dan kedudukan Islam.

"Keutamaan mereka bukan menguruskan negara ini. Tetapi siapa yang bakal nak menjadi Perdana Menteri," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Katanya, kegagalan 18 bulan PH hanyalah permulaan kepada lebih banyak kegagalan yang bakal menyusul.

Justeru tegasnya, seluruh rakyat mesti menjadi ejen semak dan kritik yang benar-benar efektif.

Artikel Berkaitan:

"Setiap ahli UMNO boleh berperanan untuk mencari pelbagai kelemahan, kegagalan dan kepincangan PH dengan membuat pendedahan melalui pelbagai medium.

"Muafakat Nasional juga mesti dikukuhkan dengan memperjuangkan idea dan merakyatkannya," katanya.

Dalam masa sama, Mohamad menyifatkan sikap PH yang sering meminta masa untuk 'memperbaiki’ negara adalah amat mengaibkan.

Katanya, tindakan itu seakan-akan menjadikan Malaysia sebagai eksperimen tabung uji kaji yang boleh dibuang jika ia gagal dan tidak menjadi.

"Malaysia bukan sebuah eksperimen sains. Tidak ada masa untuk dibazirkan. Setiap detik yang terbuang, setiap anak Malaysia yang akan menanggung ruginya," katanya.

Mengulas lanjut katanya, setelah lebih 18 bulan menjadi pembangkang, PH dilihat bukan cabaran sebenar UMNO.

"Menumbangkan PH itu tidaklah mudah, tetapi ia boleh dilakukan dengan strategi mantap dan pendekatan yang betul.

"Malah kita sudah menumbangkan mereka sedikit demi sedikit," katanya.

Sebaliknya menurut Mohamad, cabaran sebenar UMNO, yang lebih benar, lebih besar dan maha hebat adalah dalam mendepani sifat politik atau ‘the nature of politics’ itu sendiri.