Pemuda Amanah perlu berperanan tawan pengundi di negeri 'Malay Belt'

Antara perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Konvensyen Pemuda Amanah Nasional di Dewan Komuniti Batu Muda, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur malam ini.
Antara perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Konvensyen Pemuda Amanah Nasional di Dewan Komuniti Batu Muda, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur malam ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesukaran Pakatan Harapan (PH) memenangi hati pengundi Melayu di negeri Pantai Timur atau 'Malay Belt' harus diambil serius demi kelangsungan kerajaan di bawah pimpinan PH.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, pemuda Amanah perlu turut sama mengambil tanggungjawab membantu PH dapatkan sokongan padu pengundi Melayu dengan mengambil pendekatan yang bijak serta berhikmah bagi menyakini rakyat.

"Sebagai sebuah parti beridentitikan Islam, Amanah tidak dapat lari dari dibayangi isu-isu melibatkan Islam dan Melayu.

"Selaku rakan komponen PH, meskipun Amanah berjaya membantu memenangi kerusi-kerusi penting bagi membantu PH membentuk kerajaan, kita harus menerima hakikat sokongan masyarakat Islam dan Melayu kepada Amanah serta PH masih di tahap belum memuaskan.

"Bagi negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang, ketiga-tiganya gagal ditawan PH. Walaupun Kedah ditadbir PH, komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah menyaksikan PH sekadar menjadi kerajaan minoriti yang gagal menguasai majoriti DUN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Pemuda Amanah Nasional di Dewan Komuniti Batu Muda, Kampung Batu Muda di sini malam ini di hadapan kira-kira 500 perwakilan dan pemerhati yang hadir.

Perasmian disempurnakan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan turut hadir sama Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar serta Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi.

Tambah Mohd Sany, dapatan kaji selidik dijalankan Ilham Centre bersama Penang Institute menyaksikan 54.4 peratus responden bersetuju bahawa PH gagal untuk mempertahankan hak Melayu dan perkara itu wajar diambil berat oleh setiap parti komponen PH termasuk Amanah.

Artikel Berkaitan:

"Kepentingan mengembalikan sokongan pengundi Melayu kepada PH tidak boleh diambil mudah. Pemuda Harapan perlu main peranan penting bagi meraih kembali sokongan pengundi Melayu.

"Retorik-retorik perkauman pembangkang perlu dihadapi dengan hujah yang jelas dan terang. Kegagalan kerajaan menarik sokongan pengundi Melayu bakal menyaksikan pembangkang terus bermain dengan retorik kerajaan gagal mempertahankan hak serta keistimewaan Melayu," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata konvensyen berkenaan mesti dijadikan medan muhasabah bukan sekadar untuk memperkukuhkan parti tetapi juga Amanah sebahagian daripada kerajaan yang punyai tanggungjawab besar terhadap negara serta seluruh rakyat Malaysia.