Doktor Jepun maut dalam serangan di Afghanistan

Tetsu Nakamura terbunuh selepas kenderaan dinaikinya diserang lelaki bersenjata. - Foto Agensi
Tetsu Nakamura terbunuh selepas kenderaan dinaikinya diserang lelaki bersenjata. - Foto Agensi
A
A
A

KABUL - Seorang doktor dari Jepun yang mendedikasikan hidupnya untuk membantu rakyat miskin di Afghanistan maut bersama lima lagi individu dalam serangan di timur negara semalam.

Jurucakap Gabenor wilayah, Attaullah Khogyani berkata, lelaki bersenjata yang tidak dikenali menyerang sebuah kereta milik organisasi bantuan Jepun di bandar Jalalabad dekat wilayah Nangarhar.

Tetsu Nakamura, 73, adalah ketua Perkhidmatan Perubatan Keamanan Jepun atau dikenali sebagai Peshawar Kai dalam bahasa Jepun dan telah berkhidmat di rantau tersebut sejak tahun 1980 an.

Pada awalnya, beliau hanya merawat pesakit kusta di Peshawar, Pakistan sebelum meneruskan khidmatnya sehingga kini.

Difahamkan, tiga pengawal dan seorang pemandunya adalah antara yang terbunuh.

Menurut Ahli Majlis Daerah, Suhrab Qaderi, Nakamura sedang dalam perjalanan ke daerah Khewa untuk melawat projek pengairan yang dibangunkan untuk meningkatkan pertanian di wilayah itu ketika kenderaan mereka diserang.

Baru-baru ini, Nakamura baru-baru menerima kerakyatan kehormat Afghanistan untuk perkhidmatannya di negara itu sejak beberapa dekad lalu.

Beliau sering memfokuskan pada penyelesaian kekurangan makanan dan kekurangan zat makanan yang dianggap sebagai penyebab utama penyakit di negara itu. - Agensi

Artikel Berkaitan: