Nasib Mat Sabu sebagai Presiden Amanah diketahui Sabtu ini

Mohamad Sabu - Foto Bernama
Mohamad Sabu - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan sama ada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu akan terus mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) akan diketahui Sabtu ini.

Nama Mohamad disenaraikan antara 87 individu yang layak bertanding untuk merebut 27 jawatan kepimpinan tertinggi parti itu.

Jika beliau terpilih, Ahli Parlimen Kota Raja itu boleh menarik nafas lega sekali gus berpeluang mengekalkan jawatan Presiden Amanah.

Selain itu, Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan tiga Naib Presiden, Datuk Dr Hasan Baharom, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof serta Datuk Hasanuddin Mohd Yunus juga tersenarai dalam kalangan calon layak bertanding.

Nama-nama penting seperti Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Setiausaha Agung yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Hanipa Maidin dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar juga disenaraikan antara 87 calon layak bertanding.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Nik Omar Nik Ab Aziz dan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan juga tersenarai.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Nasional Amanah, Dr Zulqarnain Lukman berkata, seramai 137 individu daripada 226 pencalonan diterima layak bertanding manakala 50 menolak pencalonan dan akhirnya menjadikan 87 individu yang mempertaruhkan nasib bagi merebut 27 jawatan pimpinan tertinggi Amanah.

Katanya, Perlembagaan Amanah menetapkan mana-mana ahli yang bertanding untuk jawatan pimpinan tinggi memerlukan sekurang-kurangnya dua pencalonan masing-masing daripada kawasan dan negeri.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, jika seseorang calon tidak memperoleh pencalonan dari kawasan sebaliknya menerima pencalonan dua negeri, maka individu terlibat layak bertanding.

"Sebaik sahaja keputusan 27 individu terpilih diumumkan, Speaker yang bertindak sebagai Pengerusi Konvensyen perlu memanggil mereka bersama 14 Pengerusi Negeri, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita dalam mesyuarat khas.

"Dalam mesyuarat itu hendaklah memilih lima jawatan penting iaitu Presiden, Timbalan dan tiga Naib Presiden daripada melibatkan 27 nama dan keputusan itu akan diumumkan pada hari Sabtu," katanya kepada Sinar Harian.

Zulqarnain berkata, jawatan penting lain seperti Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan akan dilantik oleh mesyuarat lain yang diadakan pada masa terdekat.