Rafiq masih menunggu emas

Muhammad Rafiq (kanan) dan Tun Ameerul Luqman beraksi dalam acara tenpin boling men’s double kategori lelaki akhir sempena Sukan SEA Filipina 2019 di Starmall EDSA Manila hari ini.
Muhammad Rafiq (kanan) dan Tun Ameerul Luqman beraksi dalam acara tenpin boling men’s double kategori lelaki akhir sempena Sukan SEA Filipina 2019 di Starmall EDSA Manila hari ini.
A
A
A

MANILA - Diletakkan harapan tinggi sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Sukan SEA Filipina 2019, Muhammad Rafiq Ismail masih belum melihat kilauan pingat emas selepas dua hari pertandingan boling berlangsung.

Selepas mengakhiri acara perseorangan di tempat ke-18 semalam, beliau hari ini meraih pingat gangsa acara beregu bersama Tun Hakim Tun Hasnul Azam selepas melakukan 2,556 jatuhan pin di Coronado Lanes Starmall Edsa Manila hari ini.

Pingat emas menjadi milik gandingan Indonesia, Muhammad Islam Billy/Ramachmadian Hardy yang yang melakukan 2,592 jatuhan pin, manakala pasangan Thailand, Atchariya Cheng/Surasak Manuwong membawa pulang pingat perak dengan catatan 2,564 jatuhan pin.

Turun selaku naib juara selepas meraih perak acara itu bersama Adrian Ang Hsien Loong, Rafiq dan Tun Hakim bermula lemah, sebelum memperbaiki rentak untuk mengejar pendahulu, tetapi kembali bergelut dengan keadaan lorong.

"Walaupun saya hanya meraih gangsa selepas menyasarkan emas, saya tetap gembira dengan prestasi ini dan bersyukur dengan pingat ini. Prestasi hari ini lebih baik berbanding semalam.

"Bagi saya lorong agak susah dan lambat nak menyesuaikan diri. Kita hadapi kesukaran untuk mengekalkan ‘strike’, lorong kanan boleh dapat strike, kiri tidak boleh, jadi hilang banyak mata di situ.

"Sebagai atlet saya tak fikir sangat pun saya pembawa bendera atau mesti kena menang emas... Saya hanya ikut sahaja dengan memberi persembahan terbaik. Saya masih ada beberapa acara lagi, saya yakin boleh (meraih emas), hanya perlu sabar dan tawakal," katanya kepada pemberita.

Beliau seterusnya akan bertanding dalam acara beregu campuran esok, diikuti acara berpasukan pada Jumaat dan sekiranya berjaya berada dalam kelompok 16 teratas, beliau akan layak ke Masters lelaki, Sabtu ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: