Kejayaan cemerlang Malaysia dalam boling padang Sukan SEA 2019 mencabar

Atlet boling padang negara Muhammad Idham Amin ketika beraksi menentang pasukan Brunei pada perlawanan Boling Padang Lelaki Fours sempena Sukan SEA Filipina 2019 di CDC Friendship Gate hari ini. -Foto Bernama
Atlet boling padang negara Muhammad Idham Amin ketika beraksi menentang pasukan Brunei pada perlawanan Boling Padang Lelaki Fours sempena Sukan SEA Filipina 2019 di CDC Friendship Gate hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN merangkul empat pingat emas dan dua gangsa yang dicapai skuad boling padang negara pada Sukan SEA ke-30 bukanlah semudah disangka kerana pemain dan atlet negara terpaksa berdepan pelbagai kesukaran sebelum dan semasa pertandingan berlangsung.

Perkara itu diakui sendiri ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh yang mendedahkan pelbagai kesukaran dihadapi pasukan negara seperti keadaan permukaan padang rumput yang tidak rata dan keadaaan cuaca yang tidak menentu, selain masalah pengangkutan ke venue pertandingan, turut menguji mental dan fizikal pasukan negara.

Beliau bagaimanapun, amat berpuas hati dengan kejayaan hari ini yang menyamai pencapaian edisi 2007 di Korat, Thailand yang menyaksikan Malaysia meraih empat daripada enam emas yang ditawarkan.

"Para pemain telah menunjukkan satu semangat yang sangat tinggi yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia, terutamanya dengan apa yang mereka capai pada hari ini.

"Setiap dugaan dan cabaran, pemain kita cekal menghadapinya bersama-sama, terutamanya apabila berjaya mengetepikan cabaran Brunei pada aksi final," katanya ketika ditemui pemberita sebelum majlis penyampaian pingat di venue pertandingan berkenaan yang disempurnakan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Pada aksi hari ini, Malaysia berjaya menambah satu pingat emas dan satu pingat gangsa, masing-masing menerusi acara fours lelaki dan triples wanita selepas pasukan negara mengatasi Brunei dengan keputusan 24-6 dan 17-15 dalam kedua-dua acara berkenaan.

Mengulas lanjut, Zuraidi memaklumkan beliau sekadar menyasarkan skuad lelaki untuk memenangi acara pairs lelaki dan triples lelaki sahaja memandangkan Filipina merupakan pasukan terkuat dalam acara fours lelaki, terutamanya kelebihan beraksi di tempat sendiri.

Beliau memaklumkan skuad boling padang negara akan berehat seketika, sebelum meneruskan aksi di kejohanan antarabangsa selepas ini, iaitu Kejohanan Boling Padang Dunia 2020 yang dijadualkan berlangsung di Broadbeach Bowls Club, Club Helensvale & Musgrave Hill Bowls Club, Queensland, Australia dari 23 Mei hingga 7 Jun 2020.

Artikel Berkaitan:

Zuraidi mendedahkan Malaysia bakal menyertai kesemua lapan acara pada kejohanan tahunan berkenaan.

Berkongsi pandangan sama adalah Fairul Izwan Abd Muin yang mendedikasikan kejayaan hari ini kepada seluruh ahli keluarga atlet boling padang negara serta rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan atlet negara.

Beliau bersama tiga pemain lain iaitu Muhammad Idham Amin, Daeng Dhadyry Dahasry dan Zulhilmie Redzuan menyumbang emas dalam acara fours lelaki.

"Ini merupakan pingat emas keempat yang diraih saya pada Sukan SEA selepas edisi 2005, 2007 dan 2017, dan pingat ini amat bermakna kerana ini merupakan emas pertama saya dalam acara fours lelaki," jelas Fairul Izwan. - Bernama