Maszlee tiba di Tokyo untuk lawatan kerja dua hari

Maszlee bertemu dengan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun, Dr Hiroto Izumi di Tokyo.
Maszlee bertemu dengan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun, Dr Hiroto Izumi di Tokyo.
A
A
A

TOKYO - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Jepun bermula hari ini hingga esok.

Dalam rangka lawatan kerja itu, Maszlee bertemu dengan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun, Dr Hiroto Izumi.

Beliau kemudian dijadualkan ke Universiti Shukutoku bagi menyaksikan Majlis Pemeterian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Sabah dengan universiti tersebut.

Selain itu, Maszlee turut menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Universiti Sultan Zainal Abdidin (UniSZA) dengan Hospital Geriatrik Metropolitan Tokyo-Institut Gerontologi (TMGH-IG) pada majlis yang sama.

Pada hari kedua lawatan kerja tersebut, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dijadualkan menyertai Majlis Sambutan Bodhi Day anjuran Universiti Shukutoku.

Maszlee menyampaikan cenderamata kepada Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun, Dr Hiroto Izumi di Tokyo hari ini.
Maszlee menyampaikan cenderamata kepada Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun, Dr Hiroto Izumi di Tokyo hari ini.

Selepas acara tersebut, beliau turut dijangka menerima Anugerah Doktor Kehormat daripada universiti itu.

Beliau juga turut diberikan penghormatan untuk menyampaikan syarahan perdana di hadapan pentadbir kanan, ahli akademi dan pelajar di universiti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Delegasi dari Malaysia kemudian turut dibawa melawat ke sekitar kawasan kampus termasuk Kuil Daigaji.

Antara delegasi dari Malaysia yang turut sama dalam lawatan kerja itu ialah Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Dekan Fakulti Perubatan UniSZA, Profesor Dr Nordin Simbak.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Professor Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Profesor Dr Mohd Dahlan A. Malek.