'Kuatnya awak, lepas bersunat terus naik bas'

Gambar yang dikongsi Nor Shabiha tular di laman sosial.
A
A

PETALING JAYA - Gambar seorang kanak-kanak menaiki bas sambil memegang kain pelekat dipercayai baru sahaja bersunat mengundang rasa sebak netizen.

Gambar itu dikongsi seorang pengguna Facebook, Nor Shabiha Khairi yang tersentuh melihat kanak-kanak berkenaan menaiki bas bersama ibu dan adiknya yang masih bayi.

Menurutnya, gambar itu dirakam oleh abangnya ketika menaiki bas dari Subang Perdana menuju ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ara Damansara.

Kanak-kanak itu dilihat duduk dalam bas berseorangan sementara ibu dan adiknya masih bayi duduk di kerusi lain.

Nor Shabiha memberi reaksi tatkala melihat gambar kanak-kanak sekali gus membuatkan dia benar-benar insaf.

"Kuatnya awak, lepas bersunat terus naik bas.

"Kita rasa kita sudah cukup susah tapi ada lagi yang lebih susahkan. Semoga cepat sembuh dik," tulisnya.

Foto memberi seribu makna itu tular di laman sosial hingga mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan ada juga berkongsi pengalaman mereka.

Sue Abadie berkata, "Insya-ALLAH besar nanti jadi anak berjaya, jangan lupa pengorbanan mak kamu dik, pandai berdikari nanti budak ini, saya doakan berjaya dunia akhirat."

"Semoga menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada ibu ayah. Abang doakan semoga dimudahkan segala urusan adik dan keluarga. Aamin," kata Zul.

Siti Norazni turut berkongsi pengalaman memberitahu, dia juga membawa anaknya selepas berkhatan menaiki motosikal kerana tidak mahu menyusahkan penduduk kampung.

"Saya pun bawa anak naik motosikal lepas sunat, tak mahu susahkan orang tumpang-tumpang bagai. Tanya kepada anak masih kebas atau tidak, kalau kebas boleh je bawa naik motosikal.

"Siap nyanyi-nyanyi lagi atas motosikal. Balik hilang bius. Semua orang marah. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan adik sekeluarga." ujarnya.