X

Kindly register in order to view this article
!

Semangat reformasi atau protes?

Anwar ketika bersama Wan Azizah dan Azmin sebelum ini. -Foto Bernama
A
A

KEMELUT dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini bukan lagi satu rahsia buat parti yang ditubuhkan atas semangat reformasi bermula 1998 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dipecat daripada Kabinet.

Setiap hari ada sahaja cakap-cakap nakal berkaitan PKR terutamanya membabitkan nama Anwar selaku Presiden dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Timbalan Presiden parti.

Menjelang Kongres Nasional PKR 2019 yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hujung minggu ini, kemelut dalaman PKR terus bertiup walaupun pemimpin-pemimpin tertinggi parti cuba menyembunyikannya.

Namun, pokok yang terus bergoyang ditiup angin tidak mampu disembunyikan dan hubungan retak Anwar dan Azmin terus diperkatakan.

Tidak hanya melibatkan hubungan dua pemimpin itu, malah sebuah perhimpunan dengan nama Kembali Ke Landasan Reformasi bakal diadakan pada 7 dan 8 Disember ini di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

Ironinya, lokasi perhimpunan itu merupakan lokasi bersejarah buat PKR yang ditubuhkan atas semangat reformasi pada 4 April 1999. Tambahan pula, tarikhnya sama dengan kemuncak Kongres Nasional PKR 2019.

Ada yang mengatakan bahawa perhimpunan itu adalah sebagai mengambil semangat mesyuarat penubuhan PKR di hotel sama pada tahun 1999.

Persoalannya adakah perhimpunan itu untuk mengambil semangat reformasi atau mahu melakukan protes semata-mata dengan nama Azmin terus dikaitkan dengan perhimpunan itu walaupun empunya diri masih belum menyuarakan sebarang kenyataan penafian.

Sedar dengan penganjuran itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin lantang memberi amaran terhadap mana-mana anggota PKR yang menganjurkan atau hadir pada himpunan berasingan yang diadakan serentak dengan Kongres Nasional PKR akan dikenakan tindakan kerana ia bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan parti.

Apa yang diperkatakan oleh Shamsul Iskandar itu ada asasnya kerana perhimpunan itu dilihat mampu menambah luka sedangkan semangat reformasi boleh dibawa ke dalam nadi Kongres Nasional PKR dan bukannya perhimpunan yang berasingan pada tarikh sama.

Sekiranya berlaku juga perhimpunan tersebut maka boleh dikatakan bahawa PKR berada di persimpangan yang bahaya.

Ini diakui sendiri oleh bekas Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim yang berpendapat jika masalah dalaman PKR tidak ditangani dengan segera mungkin berlaku perpecahan parti sama seperti yang berlaku terhadap seteru parti mereka sebelum ini.

Justeru, Hassan terus merayu kepada semua peringkat parti supaya tidak memusnahkan usaha selama 20 tahun untuk membangunkan parti PKR yang kini menjadi payung kepada rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya yang berteduh di bawahnya.

Janganlah marahkan seekor nyamuk maka kelambu dibakar. Presiden bukanlah seekor nyamuk. Beliau ialah pengasas gerakan reformasi di negara kita ini.

Jadi bagi meneruskan keutuhan PKR dan terus berkembang, Presiden dan Timbalan Presiden perlu hilangkan ego masing-masing demi kelangsungan perjuangan parti.

Presiden dan Timbalan Presiden perlu seiring dalam merealisasikan perjuangan parti dan Kongres Nasional PKR adalah lapangan sebenar untuk memastikan hala tuju yang jelas buat survival reformis.

Pendukung PKR pula perlu merapatkan saf dalam memacu perjuangan parti yang kini merupakan parti yang memerintah negara bersama dalam Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, pokok pangkalnya, kunci perdamaian buat dua pemimpin tertinggi itu ada pada diri masing-masing dan itulah yang diharapkan oleh majoriti ahli di peringkat akar umbi.

Bekas Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin ketika memberikan pendapatnya kepada Sinar Harian baru-baru ini menjelaskan konflik melibatkan Anwar-Azmin sudah berlarutan lama dan hanya kedua-dua mereka yang mampu menjernihkan keadaan.

Sehingga kini, perdamaian kedua-dua mereka masih samar walaupun ada usaha dalam kalangan pemimpin kanan PKR cuba menjadi orang tengah dalam meleraikan konflik yang melanda.

Anwar pula menegaskan beliau bersedia dan terbuka dengan perbincangan tanpa mengira daripada kumpulan mana tetapi bagaimana pula dengan Azmin?

Apa yang bakal terjadi selepas ini hanya kedua-dua pemimpin itu sahaja yang dapat tangani.

Bagi pemerhati politik, sediakan secawan kopi panas dan hiruplah perlahan-lahan. Ada banyak gosip politik hendak dibincangkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!