Shafie Apdal mahu Warisan siap sedia hadapi PRK Kimanis

Mohd Shafie - Foto fail Bernama
Mohd Shafie - Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan semua ahli dan pimpinan parti itu tidak alpa, sebaliknya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang bakal diadakan.

Menurut beliau, walaupun yakin parti akan mendapat sokongan, namun mereka perlu mendampingi dan merayu kepada setiap pengundi untuk terus memberi sokongan dalam PRK itu nanti.

"Kita jangan alpa, kita perlu merayu kerana kita perlu mendampingi rakyat, bukan masanya panjang bagi kita untuk merealisasikan apa yang berlaku selama setahun lebih, hampir dua tahun bukan mudah melaksanakan perkara apa yang dikehendaki rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: SPR bincang mesyuarat PRK Parlimen Kimanis dalam masa terdekat

"Namun demikian saya yakin rakyat Sabah mempunyai harapan cukup tinggi kepada kerajaan negeri yang baharu," katanya menerusi satu kenyataan oleh Jabatan Ketua Menteri di sini hari ini.

Beliau yang kini dalam rangka lawatan kerja di Jepun mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan, semalam yang mengekalkan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Mohd Shafie berkata, beliau akan memanggil mesyuarat bersama semua pimpinan parti kerajaan negeri sekembalinya daripada misi pelaburan di Jepun.

Mengulas tentang calon, beliau berkata, masih belum ada nama yang ditentukan kerana beliau perlu mendengar laporan daripada pelbagai pihak terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau memberi bayangan kemungkinan besar Warisan akan bertanding, tambahan pula calon mereka telah diletakkan di situ dalam pilihan raya umum lepas. - Bernama