X

Kindly register in order to view this article
!

Ombak bergelora, penumpang feri ucap dua kalimah syahadah

Laut bergelora membuatkan penumpang cemas tular di laman sosial. Gambar kiri:Tangkap layar komen netizen.
A
A

KUALA TERENGGANU - Tular satu klip video memaparkan suasana cemas penumpang menaiki feri dari bandar Kuala Terengganu ke Pulau Redang apabila gelombang air laut mengganas.

Video berdurasi 24 saat di muat naik di Facebook Yana Rosde memperlihatkan ombak bergelora menghempas feri hingga membuatkan penumpang panik.

"Semoga kita dalam lindungan ALLAH. Feri dari Terengganu ke Pulau Redang," tulisnya.

Kedengaran suara salah seorang penumpang meminta semuanya mengucap dua kalimah syahadah, sekali gus menggambarkan suasana ketika itu sungguh cemas.

Malah, ada penumpang meminta semua berpaut pada kerusi supaya tidak terjatuh gara-gara feri terumbang-ambing kerana laut bergelora.

Hantaran video itu mendapat perhatian netizen dan sehingga kini meraih lebih 132,000 tontonan, 3,200 perkongsian dan lebih 1,000 tanda suka.

Kata Faiz Mohamad, "Menyeramkan ombaknya itu."

Difahamkan, rakaman itu dirakam penduduk di Pulau Redang ekoran kebanyakan pusat peranginan pulau-pulau terkenal di Terengganu telah menghentikan tempahan pakej pelancongan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.

Menurut Abas Mustaffa, penduduk terpaksa menaiki feri untuk ke bandar Kuala Terengganu bagi mencari keperluan harian dengan menempuh perjalanan selama satu jam lebih dan meredah laut gelora sebelum tiba di Kuala Terengganu.

"Penduduk bukan suka-suka nak pergi ke sana, kamu yang duduk di bandar tahu apa, orang kampung tiada pilihan lain dan terpaksa," katanya.