Sukan penyatu rakyat Malaysia

Kontinjen Malaysia mencuri tumpuan kerana menampilkan atlet pelbagai kaum. - Foto Bernama
Kontinjen Malaysia mencuri tumpuan kerana menampilkan atlet pelbagai kaum. - Foto Bernama
A
A
A

MISI kontinjen Malaysia yang diketuai Datuk Megat Zulkarnain Omardin sambil dibantu dua timbalannya, Nurul Huda Abdullah dan Ahmad Faedzal Md Ramli secara rasmi bermula sebaik berlangsungnya majlis perasmian pembukaan Sukan SEA 2019 di Philipine Arena, Manila Sabtu lalu.

Pada temasya edisi ke-30 kali ini, kontinjen Malaysia menyandarkan harapan kepada 773 atlet dan 339 pegawai sukan yang akan berkampung di tiga kluster yang menjadi gelanggang pertarungan Sukan SEA 2019 iaitu Manila, Clark dan Subic.

Daripada jumlah 773 atlet, sebanyak 396 atlet yang menggalas cabaran kontinjen Malaysia pada Sukan SEA kali ini tampil buat kali pertama di pentas temasya dwitahunan itu.

Dengan mempertaruhkan 447 atlet lelaki dan 326 atlet wanita, kontinjen Malaysia kali ini dibarisi 322 atlet yang berusia 21 tahun, sekali gus membuktikan persatuan sukan kebangsaan mahu mengetengahkan ramai bakat baharu sebelum bertanding di temasya lebih besar termasuk Sukan Komanwel, Sukan Asia mahupun Sukan Olimpik.

Antara elemen menarik yang ditampilkan kontinjen Malaysia berbanding negara-negara peserta lain setiap kali berlangsungnya Sukan SEA sudah pasti kepelbagaian kaum yang mewakili negara termasuk Melayu, Cina, India, serta beberapa etnik dari Sabah dan Sarawak.

Mengambil contoh sukan olahraga, nama-nama seperti Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi), Jacky Wong (lempar tukul besi lelaki) serta Jonathan Nyepa (100m lelaki), keutuhan perpaduan kaum yang terjalin antara kesemua bangsa jelas dipamerkan apabila mereka membawa nama Malaysia ketika beraksi di pentas sukan antarabangsa.

Bagi seorang peminat sukan tanah air, Noraseela Abdul Rahman, dia secara peribadi berpandangan sukan sememangnya menjadi medium terbaik untuk menyatupadukan seluruh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Saya percaya ribuan rakyat Malaysia dapat saksikan kontinjen Malaysia dibarisi atlet-atlet daripada pelbagai kaum pada majlis perasmian pembukaan Sukan SEA Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

“Ia satu detik yang cukup istimewa kerana kita sendiri dapat lihat kemesraan yang terjalin antara atlet dan pegawai kontinjen Malaysia ketika perarakan masuk ke stadium. Ini salah satu bukti sukan menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Senada dengan Noraseela ialah Jachinta Lee, seorang penggiat sukan yang menyifatkan sukan sebagai wadah utama dalam memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya gembira apabila melihat pada hari ini, kita dapat saksikan Sukan SEA yang sedang berlangsung, bagaimana rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memberi sokongan sepenuhnya kepada atlet negara yang bertanding.

“Mungkin dalam hal ini, kita sebagai rakyat Malaysia boleh mencontohi dan mengambil iktibar bagaimana elemen sukan itu boleh menyatupadukan kita semua yang terdiri daripada pelbagai latar belakang,” katanya.