Kelantan pengeluar utama Padi Wangi Cik Siti Wan Kembang

Husam (tiga kiri) menjawab soalan yang dikemukakan penanam padi pada majlis dialog bersama pengusaha padi wangi hari ini.
Husam (tiga kiri) menjawab soalan yang dikemukakan penanam padi pada majlis dialog bersama pengusaha padi wangi hari ini.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kelantan bakal muncul sebagai negeri pengeluar beras wangi utama negara yang membantu mengurangkan import dan meningkatkan pendapatan petani.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husam Musa berkata, Persatuan Pengusaha Padi Wangi Kelantan sebagai kumpulan perintisnya.

Katanya, beliau akan mengemukakan hasrat menjadikan Kelantan sebagai pengeluar utama kepada Menteri Pertanian dalam waktu terdekat.

"Lebih baik kita mengusahakan sendiri padi wangi daripada kita mengimportnya dari luar yang mana nilainya mencecah RM2 bilion setahun.

"Di samping menahan aliran wang, kita juga mampu meningkatkan pendapatan petani kita kerana harga beras wangi lebih mahal berbanding beras biasa," katanya.

Menurutnya, Kelantan bukan sahaja memulakan penanaman malah menjadi pengeluar benih padi wangi yang akan dijenamakan sebagai Padi Wangi Cik Siti Wan Kembang.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Pengusaha Padi Wangi di Dewan Kada Jajahan Pasir Puteh di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Penasihat Pertanian Pertanian Negara (MPPN), Mohd Hisyamuddin Ghazali danPengerusi Persatuan Pengusaha Padi Wangi Kelantan, Zailan Awang.

Artikel Berkaitan:

Husam berkata, padi wangi akan lebih berkualiti jika kaedah penanamannya berkonsepkan organik.

"Kita perlu kurangkan penggunaan kimia dalam pertanian yang memberi impak buruk kepada alam sehingga memyumbang kepada pemanasan global," katanya.