Buruh lemas ketika memukat ikan

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kelaboran untuk bedah siasat.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kelaboran untuk bedah siasat.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh ditemukan lemas selepas tergelincir dalam sawah ketika memukat ikan di Wakaf Kera, Kampung Jubakar Darat, Tumpat pagi tadi.

Mayat mangsa Eh Phong Areang, 49, ditemukan ahli keluarga dan penduduk kampung pada jam 11.30 pagi.

Adik mangsa, Eh Pian Areang, 46, berkata, penduduk kampung yang menyedari kejadian itu bertindak mencari abangnya dengan menaiki dua buah bot.

Menurutnya, selepas sejam usaha mencari dilakukan, mayat abangnya ditemukan selepas dayung seorang penduduk terkena badan abangnya.

"Abang keluar rumah jam 8 pagi dan ketika itu air sudah mula naik di sekitar kampung. Ada saksi nampak abang berada dalam air sambil tangannya melambai seperti meminta pertolongan.

"Ketika itu, arus air agak deras dan sekejap sahaja kelibat abang sudah tidak kelihatan sebelum dijumpai semula namun sudah meninggal dunia,” katanya di Unit Forensik Hospital Tumpat hari ini.

Pian Areang berkata, abangnya akan memasang pukat di kawasan itu setiap kali musim tengkujuh kerana lokasi tersebut dikatakan lubuk ikan darat.

“Ketika kejadian saya berada di Kota Bharu dan mengetahuinya selepas dihubungi seorang rakan.

Artikel Berkaitan:

“Kami sekeluarga tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana abang biasa menahan pukat dan dia juga tiada menunjukkan apa-apa perubahan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kelaboran untuk bedah siasat dan disahkan mati akibat lemas,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak- kanak mangsa pertama banjir di Kelantan

Mangsa adalah korban kedua selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam tali air di Felcra Teratak Batu, Pasir Puteh pagi ini.

Mayat Mohammad Ilham Hasmad dijumpai sepasukan penyelamat dan penduduk kampung pada jam 8 pagi selepas mangsa tergelincir ke dalam tali air dan dihanyutkan arus deras sejauh 400 meter dalam kejadian pada jam 6.30 petang semalam.