Rimau 7s sudah bersedia beri saingan

Pemain dan pengurusan Rimau 7s yang bakal galas cabaran negara dalam misi mempertahankan pingat emas di Filipina kali ini.
Pemain dan pengurusan Rimau 7s yang bakal galas cabaran negara dalam misi mempertahankan pingat emas di Filipina kali ini.
A
A
A

BEKAS kapten skuad ragbi negara (Rimau 7s), Zulkiflee Azmi bertekad membalas kepercayaan jurulatih negara, Mohd Saizul Hafifi Mohd Noor setelah terpilih dalam kalangan 12 pemain bagi misi mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA Filipina 2019.

Menurutnya, beliau akan menggunakan segala pengalaman yang dimilikinya bagi membantu penyandang juara itu memberikan aksi terbaik pada edisi ke-30 berkenaan.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana masih diberikan kepercayaan oleh jurulatih untuk menggalas misi mempertahankan pingat emas dimenangi bersama rakan-rakan lain pada KL 2017 (Sukan SEA Kuala Lumpur 2017) sebelum ini.

"Saya berjanji akan memberikan aksi terbaik di Filipina walaupun diakui bakal berdepan saingan getir. Namun paling penting saya bermain mewakili rakan lain yang tidak terpilih dalam membawa cabaran negara kali ini," katanya.

Berkongsi cabaran pada KL 2017 lalu, Zulkiflee berkata, pada edisi ke-29 itu kekuatan pasukan negara dengan pesaing seperti Thailand, Singapura dan Filipina adalah seimbang kerana semua pasukan memiliki kekuatan masing-masing.

Namun katanya, kelebihan berpihak kepada skuad negara pada ketika itu kerana beraksi di laman sendiri di samping keazaman tinggi dalam kalangan para pemain untuk meraih pingat emas.

"Di Filipina 2019 kali ini saya menjangkakan saingan lebih sengit kerana kita datang dengan status juara bertahan pada masa sama Filipina pula mula mempamerkan kebangkitan pada Kelayakan Tujuh Sebelah Ragbi Asia/Olimpik 2020 di Incheon, Korea Selatan baru-baru ini.

"Skuad negara juga perlu berwaspada dengan cabaran Thailand yang yang sudah lama tidak kita uji dalam beberapa perlawanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengurus Rimau 7s, Dr Ahmad Naim Ismail mengakui misi mempertahankan emas dimenangi pada KL 2017 lalu lebih mencabar berbanding ketika memenanginya sebelum ini.

Namun menurutnya, beliau optimis para pemain skuad negara akan memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan dalam usaha mempertahankan kejuaraan.

"Saya berharap pemain-pemain Rimau 7s akan memberi fokus semasa di padang dan mengikuti setiap arahan daripada jurulatih," katanya.