Isu bendera: Polis panggil sekali lagi pengarah urusan sebuah syarikat

Mior Faridalatrash
Mior Faridalatrash
A
A
A

SHAH ALAM - Polis memanggil sekali lagi pengarah urusan sebuah syarikat konsultan teknologi maklumat (IT) berhubung isu kesilapan memaparkan Jalur Gemilang baru-baru ini bagi melengkapkan siasatan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, individu dari syarikat kontraktor produksi siaran langsung berkenaan sudah memberi keterangan pada Khamis lalu.

"Namun, kita akan panggil sekali lagi untuk (kita) ambil rakaman percakapan lanjut esok.

"Ia sebagai susulan bagi melengkapkan siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi," katanya kepada Sinar Harian.

Selepas selesai siasatan berhubung perkara berkenaan, polis merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Rabu lalu, empat individu dari Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) juga sudah memberi keterangan kepada polis berhubung paparan bendera dengan bintang berbucu lima.

Ia berlaku ketika Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak Bawah 15, di Kuala Lumpur, 25 November lalu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, MABA menerusi satu kenyataan memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan berkenaan.

Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima itu dipaparkan menerusi klip video bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku.

Bendera Malaysia dengan bintang lima bucu itu dipaparkan menerusi klip video bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku.

Video berdurasi 1 minit 42 saat itu tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Bendera lima bucu: Polis rakam percakapan empat individu termasuk MABA