Program eko komuniti tingkat kesedaran

Raja Kamarul Bahrin
Raja Kamarul Bahrin
A
A
A

KUALA KANGSAR - Program Eko Komuniti #trashtocash dijangka dapat meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan mengasingkan sampah kerana ia boleh menjana pendapatan sampingan melalui kitar semula.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, langkah itu antara inisiatif kementerian bagi menggalakkan penglibatan komuniti setempat menjaga kebersihan serta mengutamakan kesihatan dalam kehidupan harian.

Beliau berkata, program itu tepat dan sesuai untuk dilaksanakan selaras dengan pelancaran Dasar Komuniti Negara pada 17 Feb lalu dan Dasar Kebersihan Negara pada 3 Nov lepas.

Katanya Dasar Komuniti Negara diwujudkan untuk memperkasa komuniti setempat terutamanya di kawasan perumahan berstrata supaya terlibat secara aktif dalam usaha penyenggaraan dan pengurusan harta awam dan harta bersama.

“Dasar Kebersihan Negara digubal bagi mewujudkan sebuah negara yang bersih, mampan dan sejahtera melalui pembudayaan amalan kebersihan diri, keluarga, komuniti dan masyarakat dalam usaha melestarikan alam sekitar,” katanya dalam ucapan perasmian Program Eko Komuniti #trashtocash @ Kuale Car Free Day di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kesejahteraan Bandar, KPKT Datuk Azhar Ahmad.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, secara keseluruhan setiap individu di Malaysia menjana sekurang-kurangnya 1.17 kilogram sisa setiap hari dan ia akan terus meningkat seiring dengan pertambahan populasi penduduk.

Menurut beliau peningkatan penjanaan sisa ini menimbulkan isu kebersihan seperti pengurusan sampah yang tidak berkesan, tabiat membuang sampah merata-rata serta tahap kebersihan tandas dan premis makanan yang kurang memuaskan.

‘’Persekitaran yang tidak bersih juga boleh menyebabkan kehadiran vektor seperti tikus, lalat dan nyamuk yang menjadi punca kepada penularan wabak penyakit seperti demam denggi, malaria dan leptospirosis (kencing tikus).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, program Kuale Car Free Day yang turut diadakan banyak memberi manfaat ke arah persekitaran yang lebih hijau dengan mengurangkan pencemaran udara.

Katanya inisiatif Program Kuale Car Free Day yang dilaksanakan dapat memberi peluang kepada pejalan kaki dan amatur berbasikal untuk menikmati jalan raya yang biasanya sibuk pada hari-hari lain sebagai ruang untuk beriadah dan berinteraksi dengan lebih selamat. -Bernama