KPP bukti kesiapsiagaan pertahanan negara

KPP membentuk strategi jangka panjang bagi memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.
KPP membentuk strategi jangka panjang bagi memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.
A
A
A

Apa itu Kertas Putih Pertahanan (KPP)?

KPP adalah dokumen yang menetapkan hala tuju kerajaan melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah. Komitmen dan keutamaan kerajaan digariskan bagi tempoh 10 tahun iaitu dari 2021 sehingga 2030 yang merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Berdasarkan Kerangka Pertahanan Negara, KPP membentuk strategi jangka panjang bagi memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.

Apakah matlamat pembangunan KPP?

Matlamat Pembangunan KPP yang pertama adalah untuk melibatkan dan meningkatkan penyertaan rakyat dalam pertahanan negara. Bidang pertahanan selama ini bersifat eksklusif dan tidak terbuka, untuk itu KPP merupakan satu ungkapan bagi semua pihak berkepentingan dalam mengambil tanggungjawab bersama untuk turut terlibat dalam pertahanan negara.

Matlamat kedua adalah untuk mengkaji semula persekitaran strategik keselamatan yang telah berubah dengan mengambil kira trend terkini agar sejajar dengan realiti cabaran semasa dan akan datang.

Matlamat ketiga bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan ATM agar mampu untuk melindungi dan mempertahan negara pada setiap masa.

Apakah perbezaan KPP dengan Dasar Pertahanan Negara (DPN) sedia ada?

Artikel Berkaitan:

Dasar berkaitan pertahanan boleh didapati pada tahun 1971, 1979 dan 1981. DPN yang komprehensif telah diperkenalkan pada 1986 dengan semakan pada 1991 dan diikuti oleh semakan terakhir pada 2006. Ia diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia dan hanya boleh dicapai oleh pihak-pihak tertentu.

KPP pula satu dokumen terbuka yang mengandungi hala tuju dan keutamaan pertahanan serta boleh dicapai oleh rakyat.

Jika dokumen terbuka, tidakkah KPP akan mendedahkan rahsia berkaitan pertahanan negara?

Perkara berkaitan keselamatan dan pertahanan adalah aspek yang tidak boleh dikompromi.

Keterbukaan kerajaan melalui KPP adalah satu penanda aras pengamalan nilai demokrasi dan tadbir urus yang baik sejajar dengan amalan negara maju.

Sehubungan itu, penerbitan KPP tidak mendedahkan rahsia pertahanan negara.

Dasar dan inisiatif yang digariskan dalam KPP adalah satu isyarat bukan sahaja kepada pihak berkepentingan dalam negara yang melibatkan rakyat, agensi kerajaan dan swasta, malah kepada negara luar dalam meningkatkan kerjasama dan persefahaman demi kebaikan bersama.

Perancangan perolehan keupayaan ATM yang sistematik akan dapat memastikan kesiapsiagaan ATM dalam mendepani cabaran keselamatan semasa, selain dapat memajukan industri pertahanan untuk mencapai visi berdikari dan menjana pendapatan ekonomi sampingan.

Bagaimana KPP dibangunkan?

KPP dibangunkan menggunakan pendekatan 'whole-of-government' dan 'whole-of-society' iaitu mengambil kira penglibatan serta pandangan semua kementerian dan agensi kerajaan serta suara semua lapisan masyarakat termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), pemain industri pertahanan, veteran ATM dan ahli akademik. Sesi libat urus bersama beberapa negara rakan strategik yang telah berpengalaman membangunkan KPP turut diadakan.

Perancangan perolehan keupayaan ATM yang sistematik akan dapat memastikan kesiapsiagaan ATM dalam mendepani cabaran keselamatan semasa.
Perancangan perolehan keupayaan ATM yang sistematik akan dapat memastikan kesiapsiagaan ATM dalam mendepani cabaran keselamatan semasa.

Apakah perkara yang terkandung dalam KPP?

KPP menzahirkan cabaran dan peluang yang wujud kesan daripada kedudukan geografi Malaysia sebagai sebuah negara maritim dengan susur galur kebenuaan. Potensi Malaysia turut digarap berdasarkan posisi Malaysia sebagai gerbang penjalin antara Asia-Pasifik dan Lautan Hindi.

Sehubungan itu, Kerangka Pertahanan Negara telah dibentuk bagi menggariskan dasar-dasar dan usaha-usaha dalam mencapai visi Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur. Kerangka itu turut mengandungi penetapan berkenaan tiga kepentingan pertahanan negara yang merangkumi keselamatan, kedaulatan dan kemakmuran.

Seterusnya, lima objektif pertahanan negara telah dikenal pasti iaitu pembangunan pelbagai domain keupayaan ATM, peningkatan daya ketahanan dalaman Malaysia melalui pendekatan 'whole-of-government' dan 'whole-of-society', pengukuhan kerjasama pertahanan, pemajuan industri pertahanan sebagai pemangkin ekonomi dan penginstitusian amalan tadbir urus yang baik.

Bagaimana KPP akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara?

KPP memenuhi visi negara iaitu mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.

Visi ini dicapai menerusi tiga keberhasilan yang dinyatakan dalam KPP iaitu keesahan, penerimaan dan kebolehpercayaan. Keesahan merujuk kepada kuasa kerajaan sebagai elemen utama dalam membina ketahanan dalaman yang membolehkan KPP dibina berdasarkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan sebagaimana amalan demokrasi.

Penerimaan adalah berkait dengan KPP sebagai satu dasar yang telah dipersetujui dalam kalangan agensi kerajaan bersesuaian dengan kaedah 'whole-of-government'.

Kebolehpercayaan pula merujuk kepada perakuan dan keyakinan bahawa ATM berupaya dan sentiasa siap siaga untuk melindungi kepentingan negara dan mempertahan kedaulatan dan keutuhan wilayah.

Bilakah KPP akan dibentangkan di Parlimen?

KPP dijangka dibentang di Parlimen pada 2 Disember 2019. KPP juga telah melalui beberapa peringkat pembentangan iaitu kepada Majlis Keselamatan Negara, Majlis Raja-Raja, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri dan seterusnya kepada Jemaah Menteri.