Air Sungai Tembeling mula naik

Keadaan air di Sungai Tembeling yang mula naik menyebabkan beberapa kampung di hilir sungai itu dinaiki air sejak petang tadi. - Foto ihsan orang ramai
Keadaan air di Sungai Tembeling yang mula naik menyebabkan beberapa kampung di hilir sungai itu dinaiki air sejak petang tadi. - Foto ihsan orang ramai
A
A
A

JERANTUT - Beberapa kampung di hilir Sungai Tembeling termasuk Kampung Pagi dan Kuala Tahan, di sini mula dinaiki air sejak petang tadi.

Seorang penduduk, Sabri Abdullah, 50, berkata, dia tidak menolak sekiranya hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai Tembeling hari ini, paras air sungai dijangka akan terus meningkat dan menyebabkan banjir di sepanjang sungai tersebut.

Difahamkan ketika ini, bacaan paras Sungai Tembeling dekat Kuala Tahan mencatat paras 66.71 meter (m) berbanding bacaan 60m di tahap waspada.

Situasi berkenaan juga ketika ini turut menjejaskan pengusaha rakit terapung yang terpaksa memberhentikan aktiviti masing-masing selepas kawasan tempat letak kenderaan juga telah dibanjiri.

Sabri berkata, pengusaha rakit terapung terpaksa menarik rakit mereka rapat ke tebing dan jauh dari kawasan arus deras selain menambah bilangan ikatan tali rakit agar tidak hanyut dibawa arus.

Sementara itu, berbeza dengan situasi di Kampung Bantal yang dinaiki air sedalam sehingga tiga meter semalam, penduduk di kampung itu sudah boleh menarik nafas lega kerana air mulai surut pagi tadi.

Bagaimanapun, penduduk beberapa kampung lain di Ulu Tembeling iaitu Kampung Mat Daling, Gusai, Bantal, Kuala Sat, Pagi dan Kuching kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap-sedia untuk berpindah jika keadaan lebih buruk berlaku.

Artikel Berkaitan: