Harga KFC naik disebabkan peningkatan kos

A
A

OPERATOR rangkaian makanan segera, KFC dan Pizza Hut, QSR Brands (M) Holdings Bhd memberi alasan terpaksa menaikkan beberapa harga menunya berikutan peningkatan kos pengeluaran.

Alasan itu diberikan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika pertemuan pengurusan tertinggi syarikat itu bersama Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Jumaat lalu.

Menurutnya Saifuddin, sebagai syarikat pemegang lesen franchise antarabangsa, mereka terikat dengan perjanjian yang dimeterai.

"Dalam perjanjian franchisor franchisee, mereka disyaratkan untuk membeli barangan daripada pembekal yang telah dinamakan.

"Itu kononnya untuk menjaga keseragaman rasa, rempah ratus dan sebagainya. Itu alasan mereka," katanya.

Beliau berkata, QSR Brands diberi masa untuk memberi jawapan balas kepada kementerian berhubung perkara itu.

"Saya tekankan mereka harus sensitif dengan tekanan pengguna terutamanya kerajaan yang sangat komited untuk untuk mengatasi kos sara hidup," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 307 kakitangan KPDNHEP hari ini.

Pada 26 Disember lalu, Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil mengesahkan peningkatan harga terhadap beberapa menu KFC.

Katanya, peningkatan itu berlaku berikutan pelarasan margin ke atas harga produk ditawarkan, sekali gus membolehkan mereka terus menawarkan kualiti terbaik kepada pengguna.

Terdahulu, Saifuddin turut menyatakan bahawa pertemuan dengan pengurusan rangkaian restoran McDonald's akan dilakukan hari ini berhubung perkara sama.