Bekas guru terima Anugerah Tuanku Canselor

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Canselor Universiti Sultan Azlan Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor kepada Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan, Amirah Mursyidah Zainal Abidin pada Istiadat Konvokesyen Ke-12 Universiti Sultan Azlan Shah di Dewan Jubli Perak hari ini. - Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Canselor Universiti Sultan Azlan Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor kepada Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan, Amirah Mursyidah Zainal Abidin pada Istiadat Konvokesyen Ke-12 Universiti Sultan Azlan Shah di Dewan Jubli Perak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang bekas guru menganggap keputusannya berhenti kerja dan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi berbaloi apabila menerima Anugerah Tuanku Canselor sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kali ke-12 hari ini.

Lebih membanggakan anugerah berkenaan diterima Amirah Mursyidah Zainalabidin, 24, daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan berangkat merasmikan istiadat.

Amirah Mursyidah ketika ditemui mengakui, mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan berhenti kerja memandangkan sudah selesa sebagai seorang guru agama di sebuah Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) di Taiping selama hampir setahun.

"Saya akui ia satu keputusan berat tambahan pula saya anak kedua daripada tujuh beradik dan masih punya ramai adik-adik yang masih bersekolah.

"Kalau boleh saya tak mahu membebankan lagi ibu bapa untuk tanggung pembelajaran saya namun memikirkan peluang yang ada, saya tetapkan tekad, alhamdulillah ia terbukti satu keputusan tepat," katanya.

Amirah Mursyidah menerima tawaran biasiswa daripada USAS untuk menyambung Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan secara sepenuh masa, dua tahun lalu selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Diploma Syariah Islamiah di universiti sama.

Keputusan gred purata lebih 3.9 yang diperolehi setiap semester melayakkannya menerima anugerah tertinggi universiti berkenaan.

Bekas pelajar sains ini berkata, bapa, Zainalabidin Ramli, 54, dan ibunya, Bohiyah Zakaria, 53, menjadi pendorong utama kejayaan diraih hari ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia pernah menolak tawaran ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dan memilih menyambung pengajian di USAS kerana tidak mahu berjauhan daripada keluarga yang menetap di Taiping.

"Disebabkan USAS tiada jurusan sains, saya teruskan pengajian dalam bidang agama sehinggalah sekarang.

"Ibu saya pernah berpesan, kita perlu korbankan sesuatu untuk dapat sesuatu yang lebih baik. Alhamdulillah hari ini tuhan tunjukkan jalan yang terbaik," katanya yang berhasrat menjadi seorang pensyarah.

Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Menteri Besar Perak kepada Mohamed Najeem Basheer Ahamed, graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Kepujian) dan Anugerah Naib Cancelor, Nurul Nadiah Kamarudin-Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Kepujian).

Turut disampaikan Anugerah Terbaik Fakulti Pengajian Islam kepada Sulaiman Salahuddin Imran-Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan dan Nur Damia Kamarul Nadzimuddin-Diploma Kaunseling Islami.

Anugerah Terbaik Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat kepada Nur Aliah Sufina Muhammad Salleh-Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Kepujian) dan Miss Salwa Wae Uma-Diploma Teknologi Maklumat.

Bagi Anugerah Tuanku Canselor, penerima akan dianugerahkan sijil, medal dan cek bernilai RM7,000 manakala bagi Anugerah Menteri Besar Perak pula menerima sijil, medal dan cek bernilai RM5,000 dan penerima Anugerah Naib Canselor USAS pula mendapat sijil, medal dan cek berjumlah RM3,000.

Hadiah berupa sijil, medal dan cek bernilai RM2,000 pula diberikan kepada graduan yang menerima Anugerah Cemerlang Fakulti Pengajian Islam dan Anugerah Cemerlang Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat.