Azmin sila buat keputusan betul, tegur Farhash

Gambar kiri: Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, gambar kanan: Mohamed Azmin Ali
Gambar kiri: Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, gambar kanan: Mohamed Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diminta membuat keputusan betul jika beliau sendiri sudah hilang arah dalam parti.

Setiausaha Politik Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak juga menasihatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu supaya tidak bersikap munafik berhubung isu pemecatan Ahli Majlis Kepimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid oleh Lembaga Disiplin PKR sebelum ini.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini, katanya, Mohamed Azmin kelihatan sudah hilang adab dan cuba mengeruhkan keadaan kerana kedudukannya kini sudah terdesak.

"Nasihat saya kalau sudah hilang arah, sila buat keputusan yang betul tapi jangan terus menyesatkan ahli parti dengan bersikap munafik.

"Saya juga minta beliau insaf sebelum Kongres Nasional dan lebih berhemah sebagai penjawat awam," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Farhash Wafa turut menolak tuntutan 20 MPP termasuk Mohamed Azmin yang meminta Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf atas keputusan dibuat Lembaga Disiplin PKR susulan menerima sokongan lebih dua pertiga ahli MPP lain.

"Kalau sebelum ini beliau (Azmin) merajuk tidak dapat merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK), kali ini beliau hendak mendesak Presiden meminta maaf hanya tidak bersetuju dengan keputusan parti.

"Azmin sebelum ini sering beri alasan tidak hadir mesyuarat parti kerana tugas menteri. Apa pula alasan lagi 19 orang ahli MPP bersamanya? Tetapi bila nak berjumpa pihak pembangkang senang saja dipelawa ke kediaman rasmi," katanya.

Kelmarin, sebilangan ahli MPP PKR menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin parti untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan beberapa pemimpin lain kerana melanggar peraturan parti.

Ahli MPP PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, Anwar juga menyatakan perkara itu perlu diserahkan kepada Lembaga Disiplin dan parti menunggu apa saja keputusan yang dibuat.

Artikel Berkaitan:

Khamis lalu, Abdullah Sani berkata aduan rasmi terhadap Zuraida dan beberapa pemimpin lain kerana melanggar peraturan parti dikemukakan kepada Lembaga Disiplin parti itu, Selasa lalu.

Aduan itu dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Ahmad Kasim menerusi e-mel dan pos.