Kevin Ramalingam letak jawatan CEO MFL

Kevin Ramalingam -Foto Bernama
Kevin Ramalingam -Foto Bernama
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan Kevin Ramalingam telah meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) badan pentadbir liga itu, semalam.

Jelas MFL dalam satu kenyataan, keputusan itu dibuat menerusi persetujuan bersama barisan ahli lembaga pengarah selepas menerima permohonan peletakan jawatan Kevin pada Khamis lalu.

“Kevin telah menghantar permohonan untuk melepaskan jawatannya sebagai CEO MFL kerana ingin meneruskan karier baharu dan Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima permohonan itu demi kebaikan masa depan beliau.

“MFL turut tidak mahu terlepas peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada Kevin selama beliau bertugas bersama MFL dan mendoakan selamat maju jaya di tempat baharu nanti,” kata MFL dalam satu kenyataan rasmi.

Justeru, bagi melancarkan pentadbiran badan pentadbir Liga Malaysia itu, Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin telah melantik Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Ab Ghani Hassan sebagai pemangku CEO berkuatkuasa esok.

"Datuk Ab Ghani akan memangku tugas tersebut sehingga pelantikan CEO baharu dibuat," katanya.

Kevin yang pernah menjawat sebagai CEO The Red Warriors Sdn. Bhd telah dipilih menjadi CEO Football Malaysia Limited Liability Partnership (yang kini dikenali MFL) pada April 2015.

Artikel Berkaitan: