Pelajar sujud syukur selepas tamat SPM

Tangkapan layar video yang memaparkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa melakukan sujud syukur selepas tamatnya kertas terakhir SPM. -Foto Facebook Farhaan Rahmat
Tangkapan layar video yang memaparkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa melakukan sujud syukur selepas tamatnya kertas terakhir SPM. -Foto Facebook Farhaan Rahmat
A
A
A

SUNGAI PETANI - Baru-baru ini kecoh di media sosial sekumpulan pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Melaka meraikan kebebasan mereka dengan menaiki kereta dan motosikal yang kelihatan seperti gengster jalanan.

Tindakan dilakukan mereka mengundang bahaya terhadap pengguna lain jalan raya lain dan pihak berkuasa telah mengambil tindakan segera terhadap pelajar-pelajar terbabit.

Namun, berbeza dengan pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa di sini yang berdoa dan melakukan sujud syukur di dalam dewan peperiksaan setelah tamat SPM.

Tindakan dilakukan pelajar tersebut telah dirakam dan dikongsi oleh Farhaan Rahmat menerusi laman Facebooknya yang memaparkan sekumpulan pelajar sekolah tersebut sujud syukur selepas tamat SPM.

Dalam perkongsian video tersebut, calon SPM itu juga turut membaca doa untuk dipermudahkan urusan mereka dalam menghadapi peperiksaan terakhir yang turut disertai oleh guru-guru mereka.

Dalam pada itu, Farhaan Rahmat turut memuat naik posting meluahkan agar perkara ini boleh dijadikan sebagai contoh buat calon-calon SPM yang akan datang.

"Inilah cara tamat peperiksaan yang kita sebagai rakyat Malaysia mahukan!!!! Salah satu video yang Abang An terima dari salah seorang pelajar SM Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah selepas tamat kertas SPM terakhir mereka.

"Sujud syukur selepas tamat paper terakhir. Ada bacaan doa memohon Allah memberkati usaha mereka dan memberikan keputusan yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Moment macam ni boleh dijadikan satu contoh kepada yang nak ambil SPM pada masa akan datang. SPM sepatutnya ditamatkan dengan cara yang lebih beradab dan tidak malampaui batas norma masyarakat & agama. Mohon KPM ambil serius isu ini," tulisnya.

Perkongsian video tersebut yang kini tular di media sosial menerima pelbagai reaksi daripada netizen dan rata-rata mereka memuji tindakan pelajar di sekolah ini dan berharap mampu menjadi teladan serta contoh terbaik buat calon SPM yang akan datang.

"Semoga ALLAH permudahkan usaha kamu semua anak-anak muda. Jadilah insan yg beriman dan bertakwa pada ALLAH, nescaya segala doa kamu beroleh kejayaan dunia dan akhirat amin,"tulis Rosli Mat Lazim di Facebook.

Nanee Sharif pula berkata "ALLAHUAKHBAR, Indahnya contoh ini. Ya ALLAH, kurniakanlah nikmat kejayaan dunia akhirat kepada mereka dan anak-anak kami Ya ALLAH...Amin,".