Pemandu terlelap, dua sahabat terbunuh nahas

Keadaan kereta Perodua Viva yang terbabit dalam kemalangan di KM 86 Jalan Lipis-Merapoh-Gua Musang awal pagi tadi.
Keadaan kereta Perodua Viva yang terbabit dalam kemalangan di KM 86 Jalan Lipis-Merapoh-Gua Musang awal pagi tadi.
A
A
A

LIPIS - [DIKEMASKINI] Angkara terlelap ketika memandu, perjalanan tiga sahabat ke Kuala Lumpur bertukar tragedi selepas dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 86 Jalan Lipis-Merapoh-Gua Musang menghala Kuala Lipis di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, kereta Perodua Viva dinaiki mereka melanggar belakang lori tiga tan menyebabkan penumpang, Mohd Shaiful Abdul Manaf, 42, dari Kampung Tanjung Bunut Susu, Pasir Mas dan Wan Khairul Anwar Wan Kamarunzaman, 32, dari Lorong Pohon Nangka, Rantau Panjang, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit, Nukman Salleh dari Taman Desa Petaling, Ketereh, Kelantan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa pemandu kereta terbabit bersama dua penumpang dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu telah terlelap lalu melanggar belakang bahagian belakang lori tiga tan jenis Isuzu yang membawa muatan pakaian terpakai di lorong kecemasan.

"Akibat kemalangan ini, penumpang hadapan, Mohd Shaiful dan penumpang belakang, Wan Khairul Anwar maut di tempat kejadian manakala lain-lain mangsa iaitu pemandu kereta, pemandu lori berusia 32 tahun bersama kelindannya berusia 20 tahun tidak cedera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan kedua-dua kenderaan juga dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: