Audit dalaman dakwaan rasuah pegawai Jakim dijangka siap Disember

Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebelum ini.
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebelum ini.
A
A
A

BANGI - Laporan audit dalaman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung dakwaan pegawainya meminta bayaran dalam urusan mendapatkan sijil halal dijangka siap bulan hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

"Kita mahu laporan itu secepat mungkin untuk mengambil tindakan selanjutnya jika benar-benar terdapat pegawai Jakim terlibat,” katanya sambil menambah audit itu tidak sukar jika portal yang mendakwa kegiatan berkenaan menyertakan nama pegawai terlibat.

Sebuah portal pada 10 Oktober lepas dalam artikel bertajuk ‘Krisis Halal Malaysia’ mendakwa kakitangan Jakim mempunyai isu seperti integriti dalam urusan mendapatkan Sijil Halal Malaysia. Antaranya ia mendakwa pegawai Jakim meminta bayaran RM50,000 bagi tujuan pendaftaran premis memproses daging halal.

Mujahid berkata, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim juga telah menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta suruhanjaya itu membuat siasatan terhadap jabatan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Siasat dakwaan pegawai Jakim terlibat rasuah: Mujahid

"Ini bagi memastikan audit ini dibuat satu penilaian yang lebih bebas dan saya telah minta SPRM masuk untuk buat siasatan. Setakat ini belum ada maklum balas daripada SPRM," kata Mujahid kepada pemberita pada majlis prapelancaran Kampus Pusat Bertauliah Halal di sini hari ini.

Mengenai Kampus Pusat Bertauliah Halal, menurut kenyataan Jakim, ia adalah projek hasil kolaborasi berkonsepkan inisiatif dana swasta yang bertujuan melahirkan tenaga mahir dalam industri halal bermula dari peringkat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga peringkat profesional.

Pusat itu yang dibina di atas tanah seluas 2.4 hektar di sini, dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun hadapan dan akan dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi termasuk dari Eropah dan Jepun. - Bernama

Artikel Berkaitan: