AMK nafi wujud usaha memihak mana-mana pemimpin dalam PKR

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menafikan wujudnya usaha untuk memihak mana-mana pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kesemua perkara yang dilakukan sayap itu termasuk jemputan mesyuarat adalah melibatkan semua ahli.

“Notis untuk kehadiran perwakilan ini bukanlah untuk khabilah mana-mana tapi pada masa yang sama, saya nasihatkan agar semua hadir pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di pejabat Ahli Parlimen Johor Bahru di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: AMK tak iktiraf ‘mesyuarat’ Hilman

Kongres Nasional Tahunan AMK, akan berlangsung pada 6 Disember dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, AMK akan sentiasa memastikan supaya anggota PKR tetap bersatu.

Beliau juga berkata, kongres sayap wanita PKR yang dijadualkan 5 Disember ini akan dirasmikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Timbalan Presiden PKR.

“Urusan perasmi dah bincang empat kali dalam mesyuarat. Jadi keputusan dah dibuat, jadi tak perlu menjadikannya satu polemik dalaman,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Akmal Nasrullah berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Timbalan AMK PKR, Dr Afif Bahardin mengenai AMK yang dilihat kelihatan seperti memihak satu pihak dan tidak bertindak sebagai orang ketiga dalam mengurangkan ketegangan dalam parti.

Beliau turut mengharapkan agar kongres berkenaan berjalan lancar.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai isu pejabat parlimennya disimbah cat merah semalam, Akmal Nasrullah berkata, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terletak berdekatan pejabat itu, telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, rakaman yang dipercayai pada jam 3.24 pagi itu (Selasa) memperlihatkan dua individu dalam keadaan mencurigakan berhampiran pejabatnya.

Selain disimbah cat, nota ugutan yang diikat pada bangkai seekor ayam berwarna hitam diletakkan di hadapan pintu pejabat berkenaan. - Bernama