Lelaki maut kereta rempuh treler

Kereta Proton Wira yang hilang kawalan merempuh belakang treler dalam kejadian di Jalan Lembah Jaya menghala ke Hulu Langat di sini malam tadi.
Kereta Proton Wira yang hilang kawalan merempuh belakang treler dalam kejadian di Jalan Lembah Jaya menghala ke Hulu Langat di sini malam tadi.
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki maut manakala dua lagi parah selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Jalan Lembah Jaya menghala ke Hulu Langat di sini malam tadi.

Kejadian jam 10.30 malam itu mengakibatkan mangsa, Zainuddin Abdullah, 47, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kereta Proton Wira itu dipercayai dari Ampang menuju ke Hulu Langat.

"Ketika kejadian treler itu sedang bergerak bersama lima treler lain dari Ijok menuju ke tapak pembinaan di Jalan Ampang sebelum dirempuh dari belakang oleh kereta Proton Wira yang hilang kawalan," katanya.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, penumpang bahagian hadapan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Ampang untuk dibedah siasat.

"Pemandu kereta, Abdullah Yunus, 73, dan penumpang, Abd Rahim Abdullah, 40, cedera parah dikejarkan ke hospital sama," katanya.

Katanya, pemandu treler berusia 45 tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Bomba Zulfikar Jaffar berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 malam.

Beliau berkata, seramai tujuh anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikerah ke tempat kejadian.

"Sejurus tiba, kami dapati seorang mangsa maut manakala dua lagi cedera parah," katanya.