Persiapan Sukan SEA 'tidak sempurna' jadi bualan netizen

Paparan Facebook Manila Bulletin Sports.
Paparan Facebook Manila Bulletin Sports.
A
A
A

MANILA - Foto tular dipercayai bilik untuk digunakan pada sidang media acara bola sepak sempena Sukan SEA 2019 yang masih belum siap sepenuhnya menjadi bualan netizen termasuk media antarabangsa.

Bangkok Post melaporkan, ketua jurulatih sepak bola Thailand Akira Nishino mengecam penyelenggara Sukan SEA kerana fasiliti disediakan tidak sempurna.

"Saya ingin para pemain disediakan makanan, kemudahan terbaik dan sempurna tetapi ia sebaliknya," kata Nishino.

Temasya yang bakal berlangsung pada 30 November ini turut mendapat perhatian atlet terlibat dan ada yang mengeluh kerana kemudahan hotel disediakan tidak begitu memuaskan.

Pusat media yang akan menjadi tumpuan media tempatan dan asing juga dikatakan masih belum disediakan.

Netizen mengecam pihak penganjur kerana selaku tuan rumah mereka perlu menyediakan kemudahan logistik.

"Batalkan sahaja acara ini kerana ia memalukan, sebagai rakyat saya meminta maaf diatas kekurangan ini," tulis Yoo Hye di Facebook Manila Bulletin Sports.

Delia pula menulis di ruangan komen, "Ia sungguh teruk, ini adalah acara antarabangsa dan sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana ia mencemarkan imej negara."

Artikel Berkaitan:

Tinjauan media tempatan juga mendapati tiada sebarang sepanduk atau poster mengenai Sukan SEA 2019 sedangkan Manila adalah tuan rumah temasya itu.

Dalam pada itu, pihak penganjur Sukan SEA 2019, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) dikatakan sedang mengejar masa untuk melengkapkan segala persediaan menjelang edisi ke-30 temasya dwitahunan itu.

Ini merupakan kali keempat Filipina menganjurkan Sukan SEA selepas temasya itu pada 1981,1991 dan paling terbaru pada 2005.

Lebih 8,000 atlet dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste dijangka menyertai 56 jenis sukan pada temasya itu bermula 30 November hingga 11 Disember ini.