Hormati keputusan Sultan Muhammad

Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan PH menghormati keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang berkuat kuasa semalam , kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau melahirkan rasa sedih berhubung keputusan itu memandangkan peristiwa pertukaran kerajaan susulan kemenangan PH dalam PRU14, Mei lalu, adalah satu peristiwa bersejarah kepada negara yang berlaku dan disaksikan semasa pemerintahan baginda.

“Baginda juga memberi pengampunan kepada suami saya (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kami hormati keputusan Seri Paduka,” katanya selepas menghadiri jamuan malam Makmal Kemanusiaan 2.0 anjuran Mercy Malaysia di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), semalam.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai peletakan jawatan itu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, semalam.

Perletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 merupakan yang pertama berlaku dalam sejarah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Menurut pakar perlembagaan, Majlis Raja-Raja akan bersidang dan menentukan pemilihan bagi jawatan tersebut dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu namun pada kebiasaannya ia dilakukan menerusi sistem penggiliran.

Artikel Berkaitan: