APMM lancar SAR kesan ketua jurutera kapal hilang

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan ketua jurutera kapal tangki MV Mariwit yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas.

Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana APMM, Laksamana Pertama (M) Mohd Zawawi Abdullah berkata, mangsa, Jin Ying Lai, 49, kali terakhir ditemui di bilik enjin ketika kapal berada di kedudukan 3.7 batu nautika barat laut Butterworth, Pulau Pinang semasa sedang berlepas dari Pelabuhan Pulau Pinang.

"Ying Lai seorang warga China disahkan hilang oleh rakan sekerjanya pada kira-kira jam 5.30 petang pada 24 November di kedudukan 40 batu nautika barat Pulau Ketam, Selangor di mana kapal tersebut ketika itu berada di luar perairan Malaysia dan sedang belayar menuju ke Kemaman, Terengganu," katanya.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, APMM menerusi Maritime Rescue Command Centre (MRCC) menerima isyarat kecemasan daripada kapal MV Mariwit yang berdaftar di Panama pada jam 10.24 malam dan SAR diaktifkan pada jam 11:30 malam.

"MRCC telah mengarahkan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi membantu koordinasi SAR di perairan Pulau Pinang dan Perak manakala Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bharu untuk pencarian di perairan Selangor," katanya.

Mohd Zawawi berkata, APMM juga telah menggerakkan sebuah helikopter AS 365 N3 Dauphin dari Stesen Udara Maritim Subang, sebuah kapal KM Marlin dari Maritim Negeri Perak, Bot Kilat 26 dari Maritim Negeri Pulau Pinang serta Bot Kilat 15 dan Bot Petir 90 dari Maritim Negeri Selangor.

Selain aset APMM, turut terlibat dalam pencarian adalah Bot PSC 46 dari Pasukan Polis Marin Batu Uban, Pulau Pinang serta KD Tun Abdul Jamil dari Tentera Laut Diraja Malaysia, katanya.

Dengan sektor pencarian yang luas merangkumi 679 batu nautika persegi bermula dari kawasan perairan Pulau Pinang hingga ke perairan Selangor, APMM turut menghantar notifikasi kepada semua kapal yang melalui kawasan perairan terbabit untuk memaklumkan sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu usaha pencarian, katanya.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, usaha mencari dan menyelamat masih tidak menemui sebarang petanda dan ianya masih lagi diteruskan dan operasi ini telah memasuki hari kedua," katanya.

Untuk sebarang maklumat berkaitan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia (POMAR) di talian 03-89954001. - Bernama