X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Lebih 40 NGO berhimpun desak PSR dibatalkan

Nelayan di Pulau Pinang berhimpun di Padang Kota Lama semepena Hari Solidariti Nelayan bagi membantah projek tambak laut di selatan Pulau Pinang (PSR) baru-baru ini.
A
A

GEORGETOWN - Lebih 40 buah pertubuhan bukan kerajaan termasuk Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri membatalkan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) kerana projek itu membawa banyak kesan buruk kepada nelayan dan rakyat.

Pengerusi Ummah, Mohd Akhir Che Mat berkata, PSR yang akan membina tiga buah pulau buatan di Pulau Pinang bukan satu-satunya penyelesaian mengatasi masalah pengangkutan di negeri itu.

“Kita tak bantah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), apa yang kita bantah adalah tambakan laut untuk pembinaan tiga pulau buatan manusia berkenaan. Seharusnya usaha yang dilakukan untuk mengatasi masalah trafik dan pengangkutan bukanlah dengan acuan permainan hartanah yang lebih terarah kepada kepentingan pihak tertentu sahaja.

“Merujuk kepada kajian yang dilakukan sebuah konsultan bebas, kita juga mohon agar PTMP dicadangkan semula dalam bentuk yang lebih baik dan pembangunannya lebih lestari,” katanya.

Beliau menegaskan, Pulau Pinang perlu fokus kepada penyelesaian pengangkutan yang menjamin kesejahteraan rakyat negeri itu secara keseluruhannya tanpa ada mana-mana golongan terjejas.

Katanya, projek yang dilaksanakan sepatutnya menghubungkan masyarakat bukan sekadar menghubungkan jaringan pengangkutan dan membina bangunan yang memisahkan manusia.

Mohd Akhir berkata, pelbagai kesan buruk kepada nelayan dan rakyat Pulau Pinang keseluruhannya akan berlaku sekiranya projek itu diteruskan iaitu akan berlaku pencemaran alam sekitar.

“Hasil tinjauan yang kita buat, kita lihat banyak selut telah kelihatan di pesisiran pantai menyebabkan nelayan tidak dapat mencari sumber pendapatan seperti biasa. Mereka juga terpaksa keluar lebih jauh ke tengah laut dan habiskan petrol lebih RM60 sedangkan hasil tangkapannya tidak sampai pun RM20 atau RM30.

“Projek mega ini juga akan mendedahkan rakyat dengan bencana alam dan perubahan demografi penduduk akan berlaku agak pantas. Kalau kita di Jelutong, misalnya, ia dulu merupakan satu kawasan nelayan tradisi, namun sekarang telah hilang begitu sahaja dan tinggallah pondok atau pengkalan nelayan yang daif,” katanya.

Tambah beliau, perkampungan tersebut adalah warisan yang amat besar bagi Pulau Pinang tetapi sayangnya ia hilang begitu sahaja.

Jelas beliau, PSR juga akan memberi kesan kepada ekosistem dan biologi kehidupan habitat laut dan kawasan sekitar, memberi impak kepada kelestarian sosiobudaya di samping menjejaskan sumber pendapatan nelayan serta berlaku pembangunan yang tidak seimbang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!