'Satu mata cukup berharga'

Hadi Fayyadh (kanan) meraikan gol jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya ketika menentang Myanmar di Stadium Memorial Rizal.
Hadi Fayyadh (kanan) meraikan gol jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya ketika menentang Myanmar di Stadium Memorial Rizal.
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menganggap anak-anak buahnya meraih satu mata berharga selepas seri 1-1 dengan Myanmar pada aksi pembukaan Kumpulan A acara bola sepak Sukan SEA 2019 di Stadium Memorial Rizal, Manila hari ini.

Sambil mengakui skuad kendaliannya gagal beraksi baik pada babak pertama, Kim Swee berkata, Harimau Muda mula bangkit menampilkan rentak yang lebih teratur dan kemas sepanjang tempoh 45 minit babak kedua.

"Para pemain mula mempamerkan peningkatan pada babak kedua apabila mula mencipta beberapa gerakan dalam usaha menjaringkan gol.

"Walaupun mereka sukar menggerakkan bola pada separuh masa pertama, namun para pemain sudah memberikan yang terbaik pada babak kedua.

"Pada saya ini perkara biasa pada perlawanan pertama selalunya bukan sesuatu yang mudah tambahan pula para pemain sudah lama tidak beraksi pada perlawanan seperti ini," katanya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.

Dalam aksi tersebut, Harimau Muda tampak goyah pada babak pertama apabila dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri beraksi di atas permukaan padang sintetik.

Sebaliknya, Myanmar yang dibimbing bekas pengendali Kelantan, Velizar Popov selesa mendominasi permainan sehingga berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 melalui Soe Moe Kyaw hasil satu sepakan sudut dari sebelah kanan pintu gol Harimau Muda.

Anak-anak buah Kim Swee berjaya menemui gol penyamaan pada minit ke-23 selepas Akhyar Rashid bijak memintas hantaran lemah pertahanan Myanmar, Aung Naing Win sebelum melorongkan bola untuk disudahkan penyerang tinggi lampai, Hadi Fayyadh Abdul Razak..

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak kedua, skuad negara menampilkan persembahan lebih kemas, namun beberapa peluang yang dimiliki gagal disempurnakan dengan baik, sekali gus menyaksikan mereka hanya berpuas hati meraih satu mata.

Harimau Muda akan turun pada aksi kedua Kumpulan A menentang pasukan tuan rumah, Filipina Jumaat ini.