'Azmin nasihat jangan lompat parti'

Hasbullah bercakap pada media di Parlimen hari ini.
Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Hasbullah bercakap pada media di Parlimen hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman menjelaskan bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menasihatkan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional yang bertemunya di kediaman rasminya baru-baru ini agar tidak melompat parti.

Beliau berkata, Mohamed Azmin mengungkapkan nasihat berkenaan ketika mereka berborak selepas selesai pertemuan.

“Itu keadaan yang sebenar, saya masih ingat Azmin kata jangan sesekali lompat parti, kalau nak nafikan, tanyalah Azmin.

"(Nasihat) Bukan lepas perjumpaan, tapi masa makan-makan dia sembang.

"Ada media yang tulis dalam kalangan kami nak lompat parti, itu punca dia. Kalau media tidak tulis tidak timbul isu itu,” katanya katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan media berhubung percanggahan kenyataan membabitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mohamed Azmin berhubung perjumpaan rahsia itu.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Hasbullah menegaskan mereka bertemu menteri tersebut bagi membincangkan permohonan peruntukan di kawasan mereka.

“Kebetulan kita kenal Azmin, kita minta bawa borang permohonan dan beliau ajak makan di rumah beliau, jadi kita pergilah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau menafikan perjumpaan itu dilakukan kerana wujud niat untuk melompat parti dalam kalangan wakil rakyat berkenaan.

“Kami tidak pernah terfikir pun nak lompat parti. Saya beritahu orang Gerik ada dua kali perjumpaan saya tidak fikir nak lompat parti Bebas, mahupun masuk Bunga Raya (Bersatu).

"Politik ini banyak main ‘game’ jadi kita tengok orang lama. Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) memang handal mengenai percaturan, terserahlah.

“Jangan kita nampak jalan itu lurus tapi ia berliku-liku. Kita sendiri tafsir dan fikirkan bagaimana,” katanya.

Terdahulu, seramai 15 Ahli Parlimen BN menerusi dua kenyataan bersama menafikan dakwaan pertemuan dengan Mohamed Azmin di Putrajaya itu untuk menyatakan mereka sudah 'hilang' parti dan tidak pasti apa perlu dilakukan, sama ada hendak lompat parti atau tidak sebagaimana dimaklumkan Mohamed Azmin kepada Dr Mahathir.

Wakil rakyat tersebut ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien; Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau); Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Datuk Hasbullah Osman (Gerik); Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin); Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Maran) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Selain itu, tujuh lagi ialah Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Datuk Salim Sharif (Jempol); Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).