Tugas Mohd Anuar dipangku penyelaras Parlimen

Mohamad (dua dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan pada Konvensyen Amanah Pahang kali ke-4 di Temerloh hari ini.
Mohamad (dua dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan pada Konvensyen Amanah Pahang kali ke-4 di Temerloh hari ini.
A
A
A

TEMERLOH - Tugas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir akan dipangku oleh penyelaras Parlimen dengan sokongan jentera kerajaan dan parti.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, Mohd Anuar yang juga setiausaha agung parti itu akan kembali bertugas selepas pulih sepenuhnya.

Menurutnya, beliau kesal dengan fitnah liar yang dilemparkan terhadap Timbalan Menteri Kerja Raya itu seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.

"Buat masa ini doktor minta beliau (Mohd Anuar) sihat terlebih dahulu. Cuma kita berharap beliau segera sihat dan dapat kembali bertugas sediakala, kini beliau dalam pemulihan.

"Tak elok kata benda tak baik. Kita doakan beliau selamat...walau berlaku kepada parti lawan, kita kalau ada keuzuran dan sebagainya dalam ajaran agama, kita doakan baik-baik seperti yang berlaku pada Datuk Seri Shahidan Kassim (Pengerusi UMNO Perlis), saya ziarah di hospital atas dasar kemanusiaan walaupun berlainan parti," katanya.

Mohd Anuar dimasukkan ke unit Neuro HWD (Neuro High Dependency Ward) Institut Kaji Saraf Tun Abdul Rahman Hospital Kuala Lumpur sejak bulan lalu akibat strok.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita sempena perasmian Konvensyen Amanah Pahang kali ke-4 di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Amanah Pahang, Dr Hamzah Jaafar dan Timbalan Pengerusinya, Syed Hamid Syed Mohamed.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai konvensyen tersebut, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berpuas hati dengan perkembangan konvensyen itu setakat ini.

"Saya berpuas hati walaupun ada masalah bila berlaku pertarungan, ada sedikit sebanyak perbezaan pandangan tapi semuanya dalam keadaan terkawal," katanya.

Pahang adalah negeri kedua terakhir mengadakan konvensyen sebelum Sabah pada 30 November ini.

Konvensyen Nasional Amanah 2019 akan berlangsung di Shah Alam pada 6 Disember depan.