Pekerja syarikat kurier ditikam penyelia meninggal dunia

Mangsa ditikam di beberapa bahagian di tempat kerjanya Selasa lalu.- Foto PENANG KINI
Mangsa ditikam di beberapa bahagian di tempat kerjanya Selasa lalu.- Foto PENANG KINI
A
A
A

BALIK PULAU - Pekerja syarikat penghantaran yang kritikal selepas ditikam rakan sekerja empat hari lalu disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, Aidil Asran Omar, 24, disahkan meninggal dunia pada jam 11.15 pagi.

Menurutnya, proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

"Mangsa disahkan telah meninggal dunia dan proses permohonan sambung reman ke atas suspek akan dijalankan.

"Dengan kematian mangsa, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selasa lalu, seorang pekerja syarikat penghantaran kritikal selepas ditikam di beberapa bahagian badan oleh rakan sekerjanya di sebuah premis dekat Taman Symphony Garden di sini.

Mangsa didapati cedera ditikam di dada dan bahagian kiri ketiak selain kesan cedera di tangan kanan serta dagu.

Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu turut disaksikan seorang lagi rakan sekerja mangsa yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan sebelum itu berlaku pergaduhan di antara suspek dengan mangsa dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana masalah di tempat kerja.

Suspek kemudian bertindak menikam mangsa dengan pisau dan melarikan diri sejurus kejadian bersama senjata terbabit.

Bagaimanapun suspek yang juga penyelia di syarikat tersebut berjaya ditahan lewat petang hari sama di Seberang Perai.

Semakan terhadap suspek mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau iaitu dua berkaitan dadah dan satu jenayah.

ARTIKEL BERKAITAN Lelaki parah ditikam rakan sekerja