Ketua geng pecah kedai cuba rempuh sekatan, polis lepas tembakan

Tangkap layar video memaparkan tindakan polis mengejar dan menangkap suspek yang tular di laman sosial. (Gamabr kecil: Mohd Noor)
Tangkap layar video memaparkan tindakan polis mengejar dan menangkap suspek yang tular di laman sosial. (Gamabr kecil: Mohd Noor)
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dipandu seorang lelaki disyaki ketua kumpulan geng pecah kedai dan pejabat di sekitar daerah ini bagi menghalang cubaannya meloloskan diri semalam.

Tindakan itu diambil apabila suspek berusia 25 tahun itu bertindak nekad cuba merempuh sekatan polis dengan memecut kereta dipandu bagi mengelak ditahan selepas dikesan berada di kawasan sebuah taman permainan di Cenderawasih di sini.

Dalam cubaan menahan suspek, seorang anggota polis tercedera di bahagian kaki sehingga terpaksa menjalani rawatan di hospital.

Suspek gagal meloloskan diri apabila kereta dipandunya berjaya dikejar dan ditahan di Jalan Sungai Lembing di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, suspek dari Taman Tas di sini berjaya ditahan bersama seorang wanita berusia 24 tahun yang turut berada dalam kereta tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki, polis menemui spanar yang diubah suai dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah.

"Suspek bersama rakan wanitanya berserta kereta digunakan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Hasil semakan rekod mendapati suspek memiliki 13 rekod jenayah lampau berkait jenayah pecah rumah, curi kenderaan, memiliki dan mengambil dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis amphetamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal, suspek mengakui terlibat dalam kes pecah kedai Mr DIY di Inderasempurna, Bukit Setongkol dan Balok serta beberapa kes pecah kedai dan pejabat di sekitar Kuantan dan Beserah.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek mempunyai kaitan dengan lima individu termasuk seorang wanita yang ditahan pada 14 November lalu berkait kes pecah kedai Mr DIY di Balok.

Menurutnya, suspek berusia 22 hingga 38 tahun itu ditahan ketika berada di sebuah hotel (bilik berasingan) di Jalan Tun Ismail 1 di sini.

Mohd Noor berkata, kesemua suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkait jenayah dan dadah serta positif dadah.

"Berikutan penahanan suspek, polis menemui dan merampas dua kereta jenis Perodua Myvi dan Axia, lapan telefon bimbit, wang tunai RM1,259 dan peralatan pecah rumah," katanya.

Dalam kejadian 11 November lalu, penyelia kedai Mr DIV berkenaan membuat laporan polis selepas premisnya dipecah masuk.

Hasil pemeriksaan mendapati dua peti besi diumpil dan dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilarikan.