'Jangan lenyapkan wajah, warisan Melayu'

Nur Affizza sedang bertanyakan sesuatu kepada para panelis Zahin (dua dari kiri), Ad Adib dan Syarida Syarif (kanan) pada program #cakaplah Kampong Bharu: Apa yang Anda Mahu? di Dewan WUI, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

SHAH ALAM - Pembangunan di Kampong Bharu bukan hanya menghilangkan wajah serta warisan sejarah di situ, malah diramal melenyapkan majoriti orang Melayu yang tinggal di situ.

Presiden Kelab Pemuda Kampong Bharu, Ad Adib Saharuddin berkata, sekiranya kerja-kerja pembangunan oleh kerajaan berjalan seperti dirancang, proses tersebut dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya antara tujuh hingga 10 tahun.

Beliau berkata, dalam tempoh itu sudah tentu para pemilik tanah perlu keluar dari kawasan tersebut dan berpindah sementara ke tempat lain.

"Keadaan itu hanya memisahkan orang-orang Melayu kita, malah dalam tempoh tersebut mereka akan memperoleh mungkin 10 peratus daripada keseluruhan pampasan sebelum projek selesai.

"Mereka sudah tentu akan beli rumah lain di luar yang lebih selesa. Adakah selepas 10 tahun, orang-orang Melayu ini akan kembali semula ke Kampong Bharu?" katanya pada sesi bual bicara #cakaplah Kampong Bharu: Apa yang Anda Mahu? di Dewan WUI, Kompleks Media Karangkraf di sini.

Turut melontarkan pandangan sebagai panel ialah Naib Pengerusi Kawasan Rukun Tetanggan (KRT) Pangsapuri 17 Tingkat, Kampong Bharu, Zahin Zakaria dan Pengarah Kreatif Ludic Link Studios, Syarida Sharif. Personaliti televisyen, Nur Affizza Azmi bertindak sebagai moderator program.

Ad Adib berkata, beliau yakin penduduk asal yang terdiri daripada orang Melayu itu tidak akan kembali kerana mereka sudah dipisahkan dan akhirnya orang luar yang beli atau sewa dan tinggal di Kampong Bharu.

Ad Adib
Ad Adib

"Akhirnya soul dan nilai sentimental orang Melayu di Kampong Bharu hilang dan jadi sejarah," katanya.

Ad Adib menegaskan, rata-rata golongan belia di Kampong Bharu sebenarnya tidak menolak pembangunan yang hendak dibuat kerajaan tetapi apa yang dipersoalkan, jenis pembangunan bagaimanakah yang kerajaan hendak bawa.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan sekiranya Kampong Bharu menerima nasib yang sama seperti Kampung Kerinchi dan Kampung Abdullah Hukum di ibu negara yang terus lenyap selepas dibangunkan.

Tegas Ad Adib, kerajaan perlu menunjukkan satu modul dan tawaran yang solid bagi meyakinkan rakyat agar pembangunan Kampong Bharu berada dalam dalam acuan sendiri.

Katanya, Perbadanan Kampong Bharu serta Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) perlu bergabung dan meniru modul yang dilakukan di Kampung Morten, Melaka atau perkampungan Hanok Bukchon, Korea Selatan yang berjaya dipelihara serta menjana ekonomi sektor pelancongan.

"Saya berharap kerajaan dapat mengubah pandangan mereka dan mendengar serta melihat dari sudut pandangan kami dengan menjadikan Kampong Bharu sebagai hub pelancongan," katanya.

Beliau juga berharap kerajaan mempertimbangkan sistem wakaf untuk dilaksanakan di Kampong Bharu kerana ia merupakan sistem dalam Islam yang sangat adil.

"Melalui sistem itu, pemilik boleh mewakafkan tanah kepada mana-mana agensi Islam untuk dibangunkan. Mereka akan dapat 20 peratus daripada keuntungan dan boleh bahagikan kepada seluruh keluarga dengan pajakan selama 99 tahun.

"Kalau bangunan dirobohkan, tanah itu tetap tanah kita. Jika kerajaan wakafkan setiap tanah di Kampong Bharu, orang Melayu kita dapat pendapatan bulanan, barulah dapat jana ekonomi orang Melayu Islam," katanya sambil menggunakan contoh bangunan pencakar langir dan pusat beli-belah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu yang dibangunkan di atas tanah wakaf.