Bekas pemain kebangsaan Ramli Abdullah meninggal dunia

Persatuan Bola Sepak Kelantan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pemain Kelantan dan negara, Ramli Abdullah yang kembali ke rahmatullah hari ini. - Foto FB Kelantan FA
Persatuan Bola Sepak Kelantan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pemain Kelantan dan negara, Ramli Abdullah yang kembali ke rahmatullah hari ini. - Foto FB Kelantan FA
A
A
A

KOTA BHARU - Bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era 80-an, Ramli Abdullah, 68, meninggal dunia di kediamannya pada jam 11.30 pagi tadi.

Pegawai Media Persatuan Bekas-bekas Pemain Bola Sepak Kelantan Era 80an (Era80), Padli Salleh berkata, Allahyarham meninggal dunia di rumahnya di Kampung Laut, Tumpat akibat sakit jantung.

"Allahyarham pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan pada kejohanan Sukan SEA di Jakarta, Indonesia pada 1978 dan bermain di posisi sayap kiri.

"Allahyarham diserang angin ahmar sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Padli berkata, antara rakan pasukan yang pernah bermain bersama Allahyarham ialah Affendi Yusoff, Mohd Hashim Mustafa, Zahasmi Ismail, Salim Mahmud, Irfan Bakti Abu Salim, Abdul Hamid Ramli, Nik Salleh Nik Man, Allahyarham Mahadi Yusof, Yassin Mohd Noor dan ramai lagi.

Beliau berkata, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laut selepas Asar tadi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada bola sepak negara, khususnya Kelantan.

"Kami mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham yang membantu menyumbang idea kepada bola sepak Kelantan sama ada secara langsung atau tidak," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: