Apa status Hospital Maran?

Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
A
A
A

KUANTAN - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 penggal kedua hari ini diberitahu bahawa cadangan pembinaan Hospital Maran pernah dibatalkan tahun lalu selepas berlaku pertukaran lokasi dari Baru 55 ke Lot PT2951 Mukim Luit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd Sofian Abd Jalil kemudiannya bertanya status pembinaan hospital tersebut dan peruntukan sebanyak RM200 juta yang pernah diumum kerajaan Persekutuan.

Menjawab soalan itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, projek yang dimohon bawah Rolling Plan 1 (RP1) itu telah dibatalkan dan perlu dimohon semula di dalam RP berikutnya.

Susulan itu katanya, Jabatan Kesihatan Pahang membuat permohonan semula di dalam RP4 untuk 2020 dan secara rasminya telah diluluskan pada pembentangan Bajet 2020.

"Susulan kelulusan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) pada masa ini sedang menyediakan Borang Pelaksanaan Projek untuk pelantikan agensi pelaksana dan pada masa sama Bahagian Perancang sedang dalam tindakan mengemaskini Medical Brief of Requirement.

"Tapak baharu yang telah dipersetujui ialah di Lot PT. 2951 HSD 680 Mukim Luit, Daerah Maran dengan keluasan 50 ekar (tapak tukar guna daripada Kementerian Dalam Negeri)," katanya pada sidang DUN Pahang di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perjalanan permohonan projek itu, Syed Ibrahim berkata, semakan yang dibuat di pejabat daerah dan tanah mendapati cadangan tapak bagi pembinaan hospital di bandar Maran adalah di atas sebahagian tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) (HSD 860 PT. 2951) seluas 80.937 hektar.

"Pihak KKM sedang berurusan dengan pihak PTP bagi urusan menukar status tanah tersebut. Pejabat Daerah dan Tanah Maran juga telah menerima permohonan daripada PTP bagi tujuan tapak tambahan Hospital Maran di Batu 55, Mukim Luit, Daerah Maran seluas 3.5008 hektar pada 27 Ogos 2019 dan sedang dalam siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Secara dasarnya cadangan pembinaan Hospital Maran diluluskan di dalam Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) seawal tahun 2015 bagi pelaksanaan pada tahun 2016.

Kerja-kerja awalan telah mula dilaksanakan pada tahun 2016 oleh Cawangan Kerja Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (CKK, JKR).

"Namun didapati bahawa kos pembinaan bagi projek ini telah meningkat hampir tiga kali ganda berbanding kos norma pembinaan hospital. Dengan mengambil kira kekangan peruntukan serta keperluan peruntukan untuk lain-lain projek, pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah meminta KKM mencari tapak baru yang lebih sesuai dengan mengambil kira siling peruntukan yang diluluskan serta kos bagi kerja-kerja awalan dan dilaksanakan," katanya.