Sinar Harian raih dua Anugerah Pinang Hijau 2019

Syajaratulhuda memegang sijil kedua-dua anugerah yang dimenanginya di samping salah satu artikel.
Syajaratulhuda memegang sijil kedua-dua anugerah yang dimenanginya di samping salah satu artikel.
A
A
A

GEORGETOWN - Sinar Harian membawa pulang dua anugerah menerusi Anugerah Wartawan Hijau Pulau Pinang pada Majlis Anugerah Pinang Hijau 2019 yang diadakan di sebuah hotel di sini sebentar tadi.

Wartawan Sinar Harian Pulau Pinang, Syajaratulhuda Mohamad Rosli dinobatkan pemenang kategori Bahasa Melayu untuk Anugerah Istimewa Penulisan Rencana dan Anugerah Istimewa Penulisan Berita.

Syajaratulhuda membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM2,000 bersama sijil penghargaan yang disampaikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Bagi kategori penulisan rencana, Syajaratulhuda memenanginya menerusi artikel 'Paras air makin menyusut' yang disiarkan pada 25 Mac 2019 manakala artikel 'Kempen larangan guna penyedut minuman plastik' yang disiarkan pada 15 April 2019 bagi kategori penulisan berita.

Menurutnya, kemenangan itu bukan miliknya seorang malah seluruh warga Sinar Harian.

"Alhamdulillah syukur apabila sekali lagi saya dipilih sebagai salah seorang pemenang Anugerah Wartawan Hijau Pulau Pinang bagi tahun ini.

"Saya hadiahkan kemenangan ini kepada seluruh pasukan Sinar Harian terutamanya Sinar Harian Edisi Utara kerana banyak membantu dan menyokong saya selama ini," katanya.

Selain Bahasa Melayu dan Inggeris, pertandingan tersebut turut menyediakan anugerah untuk kategori Bahasa Tamil dan Cina.

Artikel Berkaitan:

Majlis Anugerah Pinang Hijau anjuran kerajaan Pulau Pinang di bawah Penang Green Council telah memasuki tahun keenam pada tahun ini bagi meraikan pihak yang menghargai kepentingan alam sekitar selain menggalakkan masyarakat menyayangi kelestarian hijau.

Pengurus Besar Penang Green Council, Josephine Tan Mei Ling berkata, beberapa kategori disediakan di bawah Anugerah Pinang Hijau antaranya Anugerah Wartawan Hijau Pulau Pinang, Anugerah Pejabat Hijau Pulau Pinang dan Anugerah Sekolah Hijau Pulau Pinang.

Menurutnya, satu kategori baharu diwujudkan pada tahun ini iaitu Anugerah Tadika Hijau Pulau Pinang.

"Anugerah baharu ini tercetus daripada peningkatan penglibatan sekolah iaitu 54 buah sejak 2010 dan kini jumlah sekolah yang mengambil bahagian adalah 241 buah (pulau dan seberang).

"Sehubungan itu, kita merasakan adalah perlu untuk kita mewujudkan Anugerah Tadika Hijau Pulau Pinang. Amat mengejutkan apabila sebanyak 16 tadika mengambil bahagian yang mana 10 tadika layak untuk menerima insentif wang tunai RM500," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri berharap dengan pencapaian pemenang bagi anugerah tersebut, ia dapat memberi inspirasi kepada umum untuk berusaha menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri hijau yang mampan.

Menurutnya, ia juga sebagai sebuah negeri yang sesuai didiami dengan alam sekitar yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat selaras dengan Visi Penang 2030.