Skandal TH: Pemuda UMNO tagih janji PH, tubuh RCI

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof segera mengotakan janji menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat dakwaan salah laku dan penyelewengan pengurusan Tabung Haji (TH) yang berlaku semasa pengurusan TH terdahulu.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selepas 18 bulan PH memerintah, tiada sebarang tangkapan, pendakwaan atau laporan rasmi dikeluarkan kerajaan untuk menerangkan kepada rakyat mengenai dakwaan salah laku dan penyelewengan.

"Kononnya wujud skandal salah laku di TH sedangkan ia antara 10 janji utama manifesto Buku Harapan pada Pilih Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kekanda YB Menteri (Mujahid) pernah mendakwa defisit RM4.1 bilion yang dialami TH sebelum ini tidak mewajarkan pengagihan Hibah kepada pendeposit.

"Maka rakyat perlu diberi pencerahan lebih lanjut berhubung rasional penjualan aset-aset TH kepada syarikat milik MOF, Urusharta Jemaah Sdn Bhd sehingga RM17.3 bilion," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Asyraf mempersoalkan apakah rasionalnya penjualan aset-aset bernilai itu dan apakah itu tidak dikira sebagai bail-out dengan menjual aset-aset bernilai RM17.3 bilion untuk menutup defisit RM4.1 bilion

Selain itu, beliau turut mempersoalkan ke mana perginya baki RM13.2 billion yang diperoleh dari penjualan aset-aset itu.

Menurutnya, sekiranya benar wujud skandal salah laku dan penyelewengan dalam kalangan pengurusan terdahulu di TH, mengapa sehingga hari ini tiada sebarang tangkapan atau pendakwaan jenayah terhadap individu terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Semua itu mengesahkan lagi tanggapan bahawa apa yang berlaku dalam tempoh PH memerintah adalah sandiwara hebat bagi menutup kegagalan dasar ekonomi kerajaan Pentadbiran PH.

"Ia menyebabkan nilaian aset dan pegangan saham utama TH seperti Hap Seng Plantations, Malakoff, UEM Sunrise, IJM dan lain-lain terjejas teruk sekali gus merendahkan nilai aset TH berbanding liabiliti hingga TH hanya mampu mengagihkan hibah terendah dalam sejarah iaitu 1.25 peratus," katanya.