Mahu inkues selesai cepat: Ibu Adib

Asma
Asma
A
A
A

ALOR SETAR - Ibu Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim mahukan keadilan buat anak keduanya melalui prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba itu yang akan bermula pada 18 Januari ini.

Asma Aziz, 51, berkata, beliau menaruh harapan agar kes Muhammad Adib dapat diselesaikan secepat mungkin, sekali gus membawa dalang utama kes kematian anaknya ke muka pengadilan.

Menurutnya, walaupun sedih berdepan ujian besar itu namun pada masa sama mahu melihat sendiri wajah pelaku yang sanggup memperlakukan sedemikian terhadap Muhammad Adib.

“Mak cik harap sangat nak kes ini selesai, siasatan bagi cepat, ini untuk keadilan buat arwah. Nak tengok muka-muka orang yang buat anak mak cik, sanggup buat sampai macm tu,” katanya, ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Asma juga berharap dalang di sebalik rusuhan itu dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Tangkap depa, dalang yang suruh buat. Kalau tak dapat tangkap pelaku yang bawah ni, tangkap punca kejadian, orang yang suruh depa buat tu,” katanya.

Menurutnya, dia sentiasa merindui anaknya itu, dan tidak pernah ketinggalan mengunjungi pusara Muhammad Adib di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, berdekatan rumahnya setiap hari selepas Subuh bagi menitipkan doa buat Allahyarham.

“Setiap hari pergi kubur dengan pak cik, selepas solat Subuh sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa buat arwah, ” katanya.

Artikel Berkaitan:

Asma turut menghargai kunjungan pelbagai pihak yang tidak putus-putus menziarahi mereka di rumahnya.

Terdahulu, Asma dan suaminya, Mohd Kasim Abdul Hamid, 63, menerima kunjungan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebelum disusuli Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Sebelum ini, Mahkamah Shah Alam menetapkan 18 Januari ini bagi pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian Alllahyarham Muhammad Adib, yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.