Pengawal keselamatan 'sorok' RM600,000

Kesemua wang berjumlah RM600,000 berjaya dikesan dalam tempoh kurang 24 jam. RM700 yang digunakan untuk bayaran hotel juga telah dikembalikan oleh pihak hotel.
Kesemua wang berjumlah RM600,000 berjaya dikesan dalam tempoh kurang 24 jam. RM700 yang digunakan untuk bayaran hotel juga telah dikembalikan oleh pihak hotel.
A
A
A

KUANTAN - Empat pengawal keselamatan sebuah syarikat sekuriti ditahan kerana disyaki pecah amanah membabitkan kehilangan wang berjumlah RM600,000 milik sebuah bank di daerah Raub, minggu lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada petang 14 November namun disedari pengurus syarikat yang membuat audit pada pagi 15 November lalu.

Menurutnya, keempat-empat suspek sepatutnya menyerahkan RM2.8 juta kepada pihak syarikat setelah memungut hasil dari beberapa mesin ATM sekitar daerah itu, sebaliknya bertindak pecah amanah dengan menyembunyikan RM600,000 daripadanya di sebuah hotel.

"Menyedari kehilangan wang tersebut pengurus syarikat berkenaan membuat laporan polis dan kurang 24 jam kemudian, polis berjaya mengesan dan menangkap keempat-empat suspek di rumah masing-masing, di Raub Pahang.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 19 dan 51 tahun dan baru bekerja sekitar tiga dan empat bulan. Polis percaya hanya dua daripada mereka bersubahat bersama manakala dua lagi, tidak terlibat. Namun siasatan menyeluruh masih dilakukan terhadap semua suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Yusof dan Pegawai Penyiasat kes berkenaan, Inspektor Nor Azim Abd Aziz.

Abd Jalil berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati suspek telah melanggari prosedur pergerakan iaitu berhenti mengisi minyak di hentian rehat Bentong yang mana sepatutnya tidak boleh dilakukan.

"Polis juga menemui wang tunai tersebut yang disimpan di sebuah hotel di Bentong. Sejumlah RM700 daripada wang itu telah digunakan untuk membayar sewa hotel selama seminggu.

Artikel Berkaitan:

"Teguran kepada syarikat keselamatan agar meningkatkan langkah keselamatan dan ciri-ciri khas pada beg yang digunakan untuk mengangkut wang. Pastikan beg berzip penuh dan tidak boleh dimasuki tangan. Pastikan juga ada kamera litar tertutup dalam van serta pergerakan van sekuriti itu dipantau dari bilik kawalan syarikat," pesannya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah yang boleh dihukum penjara minimum setahun atau maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua suspek direman bermula 15 hingga 22 November ini.

Dari kiri Mohd Wazir, Nor Azmi dan Abd Jalil menunjukkan wang RM600,000 yang diambil dan disorokkan dalam bilik hotel di Bentong oleh suspek.
Dari kiri Mohd Wazir, Nor Azmi dan Abd Jalil menunjukkan wang RM600,000 yang diambil dan disorokkan dalam bilik hotel di Bentong oleh suspek.