AMK tak iktiraf ‘mesyuarat’ Hilman

AKMAL NASRULLAH
AKMAL NASRULLAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak mengiktiraf ‘mesyuarat’ yang dilakukan Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham di Rumah Pemuda AMK di Shah Alam malam semalam.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ‘mesyuarat’ semalam hanya satu pertemuan dan adalah tidak tepat jika menggambarkannya sebagai mesyuarat rasmi.

“Kalau nak beritahu perkembangan terkini, bagi saya itu hak masing-masing. Cuma mesyuarat Majlis Pimpinan AMK, notisnya kita dah keluarkan akan diadakan pada Ahad, 24 November nanti.

“Jadi mesyuarat itu yang kita susun secara bulanan. Semalam itu mungkin pandangan sesetengah pihak, tidak menggambarkan keputusan daripada AMK,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Akmal Nasrullah, jika mereka mahu membuat mesyuarat, notis daripada Setiausaha AMK perlu dikeluarkan dua minggu lebih awal.

“Kemudian kehadiran perlu cukup korum. Isu seolah-olah itu mesyuarat AMK tidak benar. AMK tak boleh ikut sesetengah pihak buat mesyuarat di rumah.

“Kalau nak buat mesyuarat, anda perlu lakukannya di lokasi yang betul terutama di Ibu Pejabat Parti. Itu barulah mesyuarat rasmi,” katanya.

Malam tadi Hilman memanggil mesyuarat berasingan tanpa persetujuan sah daripada Majlis Pimpinan Pusat AMK (MPPAMK) yang berlangsung di Rumah Pemuda AMK di Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Menerusi mesyuarat itu, Hilman turut menyatakan pendirian meneruskan perasmian Kongres Nasional AMK yang akan berlangsung di Melaka pada 5 Disember ini dengan menjemput perasmi lain.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Johor Bharu itu berharap Hilman akan hadir pada Mesyuarat MPP AMK pada Ahad ini.

“Saya rasa dia hanya pernah datang sekali, pada awalnya (mesyuarat). Saya harap beliau akan datang. Saya tiada masalah dengan beliau, datang saja.

“Cuma kita perlu mewakili suara anak muda dan bukan orang lain. Beliau mungkin dalam dilema sebagai pegawai khas, mungkin dia kena pertahankan sesetengah kepentingan pemimpin.

“Tapi parti lebih besar daripada sesiapa pun,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Panggil mesyuarat berasingan: Hilman patut dipecat