Orang asli Gua Musang terima bantuan kecemasan

P Waytha Moorthy
A
A

GUA MUSANG - Masyarakat orang asli di Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Gob, di sini akan menerima bantuan kecemasan dalam bentuk keperluan makanan dan bantuan memulihkan jaringan perhubungan jalan.

Bantuan berkenaan akan disalurkan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan bantuan pelbagai agensi dengan kadar segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkata, mesyuarat tergempar turut diadakan dengan agensi-agensi kerajaan lain yang memutuskan Jakoa dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan masalah pencerobohan gajah liar di kawasan terbabit.

"Dalam pada itu, Jakoa juga telah menyediakan bekalan makanan yang akan diagihkan kepada masyarakat terjejas.

“Kita juga telah mohon kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi memperbaiki jalan yang menghubungkan Pos Simpor ke Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis sepanjang 10 kilometer yang terjejas teruk akibat hujan lebat yang berterusan.

"Selain itu, Jakoa juga sedang berusaha untuk mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menyalurkan bantuan makanan tambahan melalui perkhidmatan helikopter kawasan Gua Musang," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelan tindakan kecemasan akan sentiasa dikaji dan ditambah baik bagi memastikan keberkesanannya supaya beban komuniti yang terjejas dapat diatasi dengan kadar segera.

"Terima kasih kepada setiap agensi kerajaan yang telah tampil untuk mempercepatkan proses bantuan tersebut," katanya.

Terdahulu, masyarakat orang asli di Pos Simpor dilaporkan terputus bekalan makanan akibat kerosakan jalan perhubungan dan serangan gajah liar di ladang dan tanaman mereka.