Tahanan Palestin mahu mati di pangkuan ibu

Tahanan politik Palestin, Sami Abu Dyak mahu menghembuskan nafas akhir di pangkuan ibunya.
Tahanan politik Palestin, Sami Abu Dyak mahu menghembuskan nafas akhir di pangkuan ibunya.
A
A
A

TAHANAN politik Palestin, Sami Abu Dyak yang didiagnos menghidap kanser dihantar semula ke klinik di Penjara Al-Ramla, Israel meskipun laporan mengatakan fasiliti itu kekurangan rawatan pakar yang diperlukan Abu Dyak.

Perpindahan dari Pusat Perubatan Assaf Harofeh ke klinik di penjara terbabit dilakukan selepas Abu Dyak dikejarkan ke hospital susulan kesihatan yang semakin merosot.

Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan di Semenanjung Gaza, keadaan Abu Dyak tidak stabil.

Organisasi itu memberi amaran bahawa Abu Dyak boleh 'mati pada bila-bila masa' berikutan kanser yang telah merebak ke seluruh tubuhnya.

Susulan itu, suruhanjaya terbabit menuntut pembebasan segera Abu Dyak yang turut mengalami kegagalan buah pinggang dan paru-paru bagi membolehkannya menerima rawatan di Tebing Barat, berhampiran dengan keluarganya.

Dalam pada itu, Abu Dyak berasal dari Jenin di Tebing Barat menyampaikan pesanan berbunyi, "Saya kini menjalani hari-hari terakhir hidup saya. Saya mahu menghembuskan nafas akhir di pangkuan ibu."

"Saya tidak mahu mati dalam keadaan bergari di hadapan penjaga penjara Israel yang menyukai kematian dan gembira di atas penderitaan dan kesakitan kita."

Abu Dyak, 33, ditahan pada 17 Julai 2002 dan kini menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana menentang pendudukan Israel.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Palestinian Cultural Organization-Malaysia (PCOM) dalam kenyataan akhbarnya mengecam pengumuman Amerika Syarikat (AS) yang tidak lagi menganggap penempatan Israel di wilayah Palestin sebagai tidak sah.

Menurut PCOM, penempatan haram Israel menyalahi undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan dan berdasarkan Statut Rom, ia merupakan jenayah perang.

Ia merupakan fakta yang tidak boleh diubah oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump. - Agensi