X

Kindly register in order to view this article
!

Rahsia Safawi ledak dua gol

Hamidin melontarkan cabaran kepada Safawi untuk menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Indonesia semalam.
A
A

PEMAIN sayap kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid yang kemarau jaringan sepanjang empat aksi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini akhirnya berjaya meledak dua gol untuk skuad Harimau Malaya menewaskan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Dua gol berkenaan sebenarnya adalah hadiah Safawi kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang telah melontarkan cabaran kepada pemain berusia 22 tahun itu ketika sesi pertemuan dengan para pemain Harimau Malaya di hotel penginapan pasukan, pagi semalam.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi ketika mendedahkan rahsia itu berkata, Safawi sebenarnya telah diberikan 'amaran' oleh Hamidin kerana gagal menjaringkan sebarang gol selepas empat perlawanan Kumpulan G ini berlangsung.

"Cabaran itu dilontarkan oleh Datuk Hamidin di hadapan semua pemain ketika beliau hadir bersarapan pagi bersama pemain pada pagi hari perlawanan (semalam) dan secara khususnya Datuk Hamidin berkata yang beliau mahu Safawi menjaringkan gol untuknya malam ini (malam tadi).

"Bagi Datuk Hamidin, walaupun Malaysia menang ke atas Indonesia sekali pun, beliau tetap mahu melihat nama Safawi dalam senarai penjaring kerana Safawi masih belum menjaringkan gol lagi dalam pusingan kelayakan ini.

"Jadi pada akhirnya, Safawi telah menyahut cabaran tersebut dengan positif apabila berjaya menjaringkan dua gol dan bolehlah dikatakan kemenangan ke atas Indonesia ini dibantu dengan 'sentuhan khas' daripada Presiden FAM," katanya.

Dengan kemenangan ke atas Indonesia itu, Malaysia kini di tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata, di belakang pendahulu, Vietnam (11 mata) dan seterusnya Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0) selepas lima perlawanan, kecuali UAE empat perlawanan.

Selaku pengurus pasukan, Mohd Yusoff turut memuji Safawi yang telah berjaya membuktikan reputasinya sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 yang berlangsung baru-baru ini.

"Kami barisan pegawai dan kejurulatihan skuad Harimau Malaya sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada Safawi sepanjang kem latihan pusat kali ini untuk dia terus berada pada prestasi terbaik pada setiap perlawanan.

"Sesuai dengan reputasinya di peringkat domestik sebagai MVP, saya rasa dua gol yang dijaringkannya malam tadi telah membuktikan tahap profesional Safawi yang sentiasa berusaha untuk berada pada tahap prestasi yang sama ketika perlawanan peringkat antarabangsa," jelasnya.